(dipetik dari blog saudara Faisal Tehrani di http://tehranifaisal.blogspot.com)
Saat ini di New Delhi, media sedang hangat membincangkan tentang kabinet baharu Perdana Menteri Manmohan Singh. Lain dari itu berita kematian komander LTTE, Velupillai Prabhakaran turut mendapat liputan. Saat saya mengetik blog dan berita tanahair, saya agak terkejut membaca laporan mengenai ribuan orang berkumpul di kuil Batu Caves untuk membantah pembunuhan orang awam di Sri Lanka. Khabarnya mereka membantah jenayah perang oleh kerajaan Sri Lanka terhadap orang Tamil dalam peperangannya dengan LTTE yang mahu mewujudkan negeri Eelam di utara Sri Lanka. Protes tersebut dikatakan perlu, untuk menunjuk rasa terhadap nasib ribuan mangsa yang tidak berdosa: terkorban dan kehilangan kediaman.
Saya ingin mengingatkan di sebalik kematian orang awam berbangsa Tamil yang tidak berdosa ini, orang terlupa polisi pembunuhan beramai-ramai LTTE terhadap muslim di utara Sri Lanka. Sekiranya protes ini adalah protes terhadap pembunuhan orang tidak berdosa dan mangsa perang ia haruslah mengisi sama apa yang menimpa umat Islam Tamil di Sri Lanka. Sekiranya penganjur mengabaikan hakikat ini, maka protes dan perhimpunan ini hanyalah satu perhimpunan pro LLTE yang menurut saya amat amat menjengkelkan.
Saudara pembaca mungkin terlupa atau kurang tahu apa yang berlaku pada 3 Ogos 1990, apabila LTTE Tamil Tiger (yang mendakwa pejuang masyarakat Tamil) ini telah membunuh 103 umat Islam Tamil yang sedang bersolat di Masjid Kattankudiy di Batticaloa. Perkara sama berlaku pada 3 Ogos 2006 di Muttur. Badan hak asasi manusia - The Society for Peace, Unity & Human Rights in Sri Lanka (SPUR) - yang beribupejabat di Victoria, Australia menyatakan pembunuhan terhadap umat Islam Tamil oleh LTTE ini turut berlaku di Kebitigollewe (15 Jun 2006), juga di desa Kalyanapura, Gomarankadawala pada 23 April 2006 dan pembunuhan di Welikanda ada 29 Mei 2006.
Untuk mengingatkan saudara akan tragedi berdarah ini, saya akan menurunkan sejumlah foto peristiwa kejam tersebut. Jangan teruskan melihat sekiranya saudara tidak cukup kuat.
Foto-foto mengejutkan ini dirakam oleh Martin Klejnowski dan Madeleine Leeson, dua orang jurnalis Reuters yang berjaya menyusup masuk ke dalam wilayah penguasaan LTTE pada waktu itu. Leeson melaporkan terdapat mayat ditemui tersandar di dinding masjid berhampiran jendela menunjukkan mangsa cuba melarikan diri tetapi tidak dilepaskan.
Pembunuhan beramai-ramai pada 3 Ogos 1990 tersebut menyaksikan kesyahidan Akram (6 tahun), Ajimeel, Jaroon dan Rizwan (10 tahun), Asroof 11 (tahun), Dalhan Haris, Fauser Hassan, Arip, M. Ajimal, Makeen, Kamaldeen dan Imtiaz (semua berusia 12 tahun), Anas, Faizal, dan M.B.Jawad (13 tahun), Sameeen, Jaufer, Samath, Mohammed Fauzer, Safar, M. S. M. Jaufer (14 tahun), dan Fazlan (15 tahun). Anak-anak ini dari sebuah sekolah yang sama dan dikatakan ke masjid pada hari tersebut untuk belajar membaca al-Quran. Pembunuhan ini berlaku ketika mereka sedang sujud sedang mereka bukanlah tentera atau bersenjata.
Pada jam 7.20 malam, seluruh pekan Katankudi bergelap. Jemaah meneruskan solat dalam gelap. Tidak lama kemudian muncul kenderaan Hiace putih, van rasmi LTTE dengan anggota bersenjata. Mereka masuk menembak secara membuta babi, malah kesan peluru turut tertanam di dinding masjid.
Peristiwa ini dilaporkan oleh A. I. Ismail yang pada waktu itu berusia 55 tahun. Dan oleh M.M. Akbar yang ketika itu berumur 16 tahun. Kedua-duanya terselamat dari pembunuhan dengan berpura-pura mati. Tetapi mereka cedera parah kerana gerila LTTE terus menembak mayat yang terbujur di lantai masjid demi memastikan mereka benar-benar mati.
.....bacaan lanjut di blog Faisal Tehrani, klik sini
(untuk teks berkaitan di akhbar nasional klik sini)
No comments:
Post a Comment