Tuesday, May 12, 2009

Kerajaan Tertekan Cegah H1N1- Menteri Kesihatan

Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan Malaysia

KUALA LUMPUR: Bimbang dengan perkembangan terkini wabak Influenza A (H1N1) yang telah menular ke Asia Tenggara berikutan pengesahan kes di Thailand hari ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong, mengakui kerajaan Malaysia semakin tertekan untuk mencegah virus itu daripada merebak ke negara ini. Katanya, kerajaan kini menghadapi tekanan amat kuat dan memberi amaran kepada rakyat akan kemungkinan gelombang kedua jangkitan wabak berkenaan. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sejumlah 4,379 kes jangkitan disahkan berlaku di seluruh dunia dengan keadaan paling teruk berlaku di Mexico.

"Kita semakin tertekan untuk memastikan wabak ini tidak menular ke negara kita. Setakat ini kita telah berjaya mengawalnya tapi kita tak boleh mengambil ringan perkara ini dan perlu sentiasa bersedia untuk menghadapinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Jururawat Sedunia di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Liow berkata, langkah pemantauan influenza dalam tempoh jangka panjang turut dipergiatkan dan ia akan menjadi cabaran kepada kementerian untuk memastikan tiada jangkitan penyakit itu. Beliau berkata, orang ramai perlu memberi tumpuan kepada kebersihan diri dan segera mendapatkan rawatan perubatan jika mereka mengalami apa-apa jua simptom penyakit berkenaan.

Kementerian Kesihatan telah menggerakkan Pelan Persediaan Menghadapi Kemungkinan Wabak Influenza pada 30 April lalu. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata sehingga jam 12 tengah malam semalam, bilik Pusat Kesiapsiagaan Krisis dan Bertindak Cepat (CPRC) Kementerian Kesihatan menerima tiga notifikasi kes yang dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh dan Hospital Seremban bagi tujuan siasatan serta pemerhatian.

"Kesemua kes telah disahkan negatif terhadap influenza A(H1N1), sehingga masa ini tiada kes influenza A (H1N1) dikesan di negara kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Ismail berkata, seramai 6,440 individu disaring di semua pintu masuk ke dalam negara dan daripada jumlah itu, 6,051 orang disaring di pintu masuk udara, 124 di pelabuhan dan 265 di pintu masuk darat.

"Setakat ini tiada kes dirujuk ke hospital," katanya. Dr Ismail berkata, sehingga semalam, seramai 55,002 penumpang udara disaring di semua lapangan terbang antarabangsa. Katanya, sebanyak 11 "thermal scanner" dipasang di enam pintu masuk negara sehingga kini bagi mempercepatkan proses saringan. Beliau berkata, bilik CPRC menerima sejumlah 44 panggilan dan dua e-mel daripada orang ramai berhubung nasihat perjalanan ke luar negara, rawatan dan vaksin serta saringan.

"Orang ramai tidak perlu bimbang dengan situasi influenza A(H1N1) kerana kementerian sentiasa meningkatkan pemantauan dalam memastikan tindakan proaktif diambil bagi melindungi kesihatan penduduk Malaysia," katanya. Beliau juga berkata, tiada risiko untuk mendapat jangkitan influenza A (H1N1) sekiranya daging atau produk babi disediakan dan dimasak secara betul. - Bernama

Ulasan: Semoga Allah menjauhi kita dari wabak bencana ini. Tetapi kita perlu renung kembali, kenapa maksiat kita tidak mahu jauhi sedangkan kita meminta pula Allah menjauhi kita dari wabak bencana ni seperti ini (Pesanan ini ikhlas untuk diri saya yang selalu lalai dan alpa dalam menempuh kehidupan seharian ini). Diharap wabak bencana ini dapat mendekatkan kita dengan Allah S.W.T. Wallahua’lam

No comments: