Monday, November 15, 2010

Selamat Bercuti & Salam Aidiladha

Assalamualaikum,
Selamat bercuti saya ucapkan kepada semua warga IPG dan selamat menempuh alam pekerjaan kepada semua guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ambilan 2007 (Kohort 1st) yang telah tamat pengajian mereka pada tahun ini. Semoga anda semua terus sukses dan komited dalam dunia perguruan.

Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua teman2 blogger yang beragama Islam, kawan2 kat IPG dan seluruh umat Islam di dunia ini.Tahniah kepada semua yang telah berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci dengan izin Allah Taala.

Sunday, November 7, 2010

Di balik sekeping gambar Hillary Clinton- Harry Salzman

Menjadi satu pengalaman amat berharga buat jurugambar Bernama ketika membuat liputan lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Rodham Clinton baru-baru ini.

Mungkin tidak setanding pengalamannya merakam gambar peperangan di Iraq tujuh tahun lalu, tetapi Harry Salzman Abu Bakar menganggap persediaan sebelum mengambil gambar pegawai diplomat tertinggi negara maju itu harus diteladani bukan sahaja buat dirinya tetapi bagi pemimpin-pemimpin yang ingin gambar mereka menjadi lebih menonjol.


Apa yang diminta oleh pegawai pengiring Clinton beberapa minit sebelum majlis bermula mungkin dilihat remeh tetapi itu merupakan perincian bagi mendapatkan hasil gambar yang terbaik dan menjadikan pemimpin mereka itu kelihatan lebih menyerlah.

"Sebagai satu-satunya jurugambar mewakili media rasmi saya diajak berbincang tentang persediaan untuk mengambil gambar bekas wanita pertama Amerika Syarikat.

"Saya diberitahu lebih awal warna pakaian yang akan dipakai oleh Secretary Clinton agar dapat menyediakan penataan cahaya yang sesuai," katanya.

Ketika itu Harry Salzman ditugaskan untuk mengambil gambar majlis menandatangani tiga perjanjian persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat di Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya Selasa lalu.

"Mereka juga bertanya kepada saya keadaan manakah yang sesuai bagi posisi badan pemimpin itu sama ada mengadap ke hadapan atau mengiring ketika berdiri untuk bersalaman selepas menandatangani perjanjian.

"Apabila saya bersetuju posisi bagaimana yang saya mahu, mereka terus menandakan di atas lantai kedudukan yang harus Secretary Clinton berdiri kelak," katanya.

Hasilnya jika dilihat daripada gambar yang diambil, memang anda akan lihat posisi beliau kelihatan 'segak' dan 'kemas' berbanding orang di sekelilingnya, kata anak Perlis ini.

Malah Harry Salzman berkata cara Clinton memegang folder perjanjian sambil bersalaman juga dititikberatkan bagi menunjukkan penghargaan dan mencerminkan "ia urusan yang penting."

Harry Salzman juga berkata beliau sempat melihat bagaimana pegawai-pegawai negara itu menitikberatkan kedudukan bendera yang diletakkan di sebelah pemimpin itu agar kelihatan 'segar' dan 'bermaya'.

"Sebatang penyangkut baju diletakkan dalam gulungan bendera itu agar kelihatan lebih rapi.

"Selain itu, buku lawatan dan folder perjanjian yang bakal ditandatangani Clinton juga ditanda lebih awal agar mudah pemimpin itu untuk menurunkan tandatangannya," katanya.

Malah mereka tidak menggalakkan kehadiran 'dayang-dayang' untuk menunjukkan bahagian mana yang perlu ditandatangani ketika majlis berlangsung, katanya.

Warna tirai baldu juga ditetapkan sebagai biru gelap, digunakan di belakang upacara menandatangani perjanjian dan dibiarkan kosong tanpa sebarang latar belakang yang ditulis berkaitan majlis berkenaan.

Mereka mengatakan mereka tidak mahu menggunakan tirai berwarna terang atau berkilat supaya penataan cahaya lebih baik untuk kamera.

"Cuba kita fikirkan mengapa mereka perlu memikirkan tentang semua ini untuk pemimpin mereka," katanya.

Harry Salzman berkata untuk meletakkan replika kecil kapal terbang bagi majlis memeterai perjanjian antara Malaysia Airlines dan Pratt and Whitney juga diperincikan.

"Saya ditanya di mana mahu diletakkan replika itu. Selepas mendapat sudut yang saya mahu, sekali lagi dibuat satu tanda di atas meja di mana apabila giliran perjanjian itu tiba untuk ditandatangani, replika itu akan diletakkan di tempat yang saya mahukan."

Harry Salzman berkata beliau turut teruja untuk mengambil gambar setiausaha negara itu yang dilihat pandai membuat 'gerakan' yang disukai oleh mana-mana jurugambar untuk merakam gambarnya.

"Beliau kelihatan 'hidup' walaupun gambar diambil dalam bentuk 'stills'.

Pergerakan tangan, senyuman yang lebar dan pandangan yang lembut tapi tepat ke arah lensa dari matanya yang biru.

"Saya berharap pemimpin dan pegawai lain juga dapat menonjolkan diri sepertinya walaupun setakat bergambar. Gambar turut memberi impaknya. Bukankah satu gambar boleh memberi seribu satu cerita?"

--Bernama

Ulasan:
Ketelitian dan perincian adalah aspek yang saya rasa masih kebanyakkan daripada kita rakyat Malaysia masih ketinggalan. Dari segi pengurusan diri hinggalah ke peringkat pengurusan tertinggi kita selalunya tidak menekankan aspek ketelitian dan perincian dalam melakukakn sesuatu. Ramai dari kita yang lebih suka untuk membuat kerja seperti sekadar melepaskan batuk di tangga atau cincai. Apa yang patut kita lakukan melihat sesuatu itu dari sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecil perkara. Sekecil-kecil perkara yang sering diambil remeh dan dipandang ringan adalah lebih penting dari memperelokkan perkara yang besar. Wallahua'lam.

Thursday, November 4, 2010

Gambar banjir sekitar Kangar, Perlis-Hari Ketiga

Antara gambar yang sempat diambil ketika meronda-meronda sekitar Kangar.

































permandangan dari belakang IPG Perlis

Duit Sunnah/Sunnah Money

Duit sunnah @ Sunnah Money adalah matawang yang digunakan semasa zaman Rasulullah SAW. Barang atau benda yang menjadi duit sunnah pada ketika itu ialah emas (dinar), perak (dirham), gandum, barli, kurma dan garam. Emas dan perak adalah dua jenis logam yang bernilai manakala empat jenis matawang lagi yang terdiri daripada gandum, garam, barli dan kurma adalah barangan komoditu yang menjadi kegunaan harian masyarakat pada masa itu. Barang-barang ini mempunyai nilainya yang tersendiri dan dijadikam wang pada masa tersebut untuk menjalankan urusan jual beli. Dalam erti kata lain, ia mempunyai nilainya tersendiri dalam wang itu sendiri tidak seperti sekarang. Sekarang kita menggunakan matawang kertas atau syiling yang tiada nilai di dalamnya dan nilainya sentiasa berubah-ubah mengikut pasaran dan inflasi. Hari ini dengan RM 2.00 kita mungkin boleh beli sebiji burger tetapi 5 atau 10 tahun akan datang, dengan RM 2.00 kita mungkin hanya mampu untuk membeli benjo (burger telur). Susut nilai matawang ini adalah sesuatu yang tidak adil dalam sistem Islam. Ini adalah ideologi yang dibawa oleh barat untuk memusnahkan sistem kewangan Islam yang telah terbukti adil dan berkesan. Sistem Barat akan mengekalkan yang kaya akan terus kaya manakala yang miskin akan terus terpenjara dengan kemiskinan kerana kekayaan tidak lagi beredar dalam sistem ekonomi yang saksama.



Wednesday, November 3, 2010

Banjir di Perlis

Banjir di Perlis sampai ke kemuncaknya semalam apabila air dari Empangan Timah Tasoh yang berada dalam paras bahaya telah dilepaskan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kecelakaan yang lebih besar. Saya yang tinggal di sekitar Stadium Utama Kangar mula merasai tempias kehadiran air bah seawal jam 7.00 pagi apabila air di kawasan tinggalan sawah dihadapan rumah mula meningkat naik. Selain itu Jalan Kaki Bukit yang menghubungkan Beseri dan Kangar mula ditenggelami air yang pada malam sebelumnya masih lagi boleh dilalui oleh kenderaan ringan.  Pada masa yang sama keadaan banjir yang semakin buruk menyebabkan bekalan elektrik diputuskan pada jam 12 tengah hari. Paras air yang semakin meningkat menyebabkan beberapa buah batang jalan lagi dinaiki air dan ditutup kepada semua jenis kenderaan ringan. Ini termasuk jalan-jalan utama ke pusat bandar Kangar. Secara ringkasnya, saya dan rakan-rakan yang lain sebenarnya sedang terperangkap dalam banjir dan tiada jalan keluar untuk pergi ke mana-mana kerana semua jalan telah dinaiki air. Kami hanya boleh bergerak di sekitar kawasan stadium yang kawasannya jelas lebih tinggi dari kawasan sekitarnya. Mujurlah kami telah mempunyai sedikit bekalan makanan yang sempat dibeli pada sebelah paginya untuk mengisi perut. Pada malamnya dalam samar-samar cahaya lilin kami menikmati malam yang tidak mungkin akan dilupakan sepanjang hayat sambil mengukur paras air yang mengintai-intai untuk memasuki rumah. Pagi tadi, alhamdulillah keadaan banjir menunjukkan tanda semakin surut. Pagi tadi juga kami satu rumah menikmati nasi banjir yang berlaukkan ayam goreng pada harga RM 5.00 sebungkus. Jam 3.00 petang 3 November 2010 bekalan elektrik kembali pulih, tekanan air paip semakin kuat dan air banjir semakin surut. Semoga keadaan ini terus bertambah baik sehingga mangsa terakhir banjir yang berada di pusat pemindahan banjir kembali pulang ke rumahnya. Wallahua'alam.