Wednesday, November 3, 2010

Banjir di Perlis

Banjir di Perlis sampai ke kemuncaknya semalam apabila air dari Empangan Timah Tasoh yang berada dalam paras bahaya telah dilepaskan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kecelakaan yang lebih besar. Saya yang tinggal di sekitar Stadium Utama Kangar mula merasai tempias kehadiran air bah seawal jam 7.00 pagi apabila air di kawasan tinggalan sawah dihadapan rumah mula meningkat naik. Selain itu Jalan Kaki Bukit yang menghubungkan Beseri dan Kangar mula ditenggelami air yang pada malam sebelumnya masih lagi boleh dilalui oleh kenderaan ringan.  Pada masa yang sama keadaan banjir yang semakin buruk menyebabkan bekalan elektrik diputuskan pada jam 12 tengah hari. Paras air yang semakin meningkat menyebabkan beberapa buah batang jalan lagi dinaiki air dan ditutup kepada semua jenis kenderaan ringan. Ini termasuk jalan-jalan utama ke pusat bandar Kangar. Secara ringkasnya, saya dan rakan-rakan yang lain sebenarnya sedang terperangkap dalam banjir dan tiada jalan keluar untuk pergi ke mana-mana kerana semua jalan telah dinaiki air. Kami hanya boleh bergerak di sekitar kawasan stadium yang kawasannya jelas lebih tinggi dari kawasan sekitarnya. Mujurlah kami telah mempunyai sedikit bekalan makanan yang sempat dibeli pada sebelah paginya untuk mengisi perut. Pada malamnya dalam samar-samar cahaya lilin kami menikmati malam yang tidak mungkin akan dilupakan sepanjang hayat sambil mengukur paras air yang mengintai-intai untuk memasuki rumah. Pagi tadi, alhamdulillah keadaan banjir menunjukkan tanda semakin surut. Pagi tadi juga kami satu rumah menikmati nasi banjir yang berlaukkan ayam goreng pada harga RM 5.00 sebungkus. Jam 3.00 petang 3 November 2010 bekalan elektrik kembali pulih, tekanan air paip semakin kuat dan air banjir semakin surut. Semoga keadaan ini terus bertambah baik sehingga mangsa terakhir banjir yang berada di pusat pemindahan banjir kembali pulang ke rumahnya. Wallahua'alam.

3 comments:

zmah said...

Musim bah kena jaga keselamatan diri dan keluarga.

CECOMEL said...

InsyaALLAH. Begitulah yang diharapkan ribuan yang terperangkap dalam azab dunia yang berpunca dari kita juga.

Zaher said...

betul tu..khutbah jumaat kat masjid behor empiang tadi tentang bencana banjir sangat menusuk kalbu...