Bahasa adalah alat pengucapan dalam sesuatu bangsa. Dalam bahasa itu juga terkandung nilai-nilai budaya, atau pandangan dunia bangsa itu sendiri. Saya terdetik untuk menulis berkaitan bahasa ini kerana merasakan kedudukan bahasa Melayu kian hari semakin tercabar. Walaupun saya tidak mempunyai ilmu yang sangat mendalam tentang bahasa dan strukturnya, apatah lagi tentang falsafah bahasa Melayu itu sendiri, saya akan memberikan apa yang dikira patut untuk di kongsikan bersama.
Sebentar tadi dalam akbar berita harian edisi online ada mengatakan bahawa domain bagi Biro Pengaduan Awam (BPA) Jabatan Perdana Menteri yang sebelum ini http://www.bpa.jpm.my, ditukar kepada http://www.pcb.gov.my bermula semalam. Dari domain ini jelas kita boleh nampak singkatannya BPA telah ditukar kepada PCB atau Public Complaints Bureau. Sampai domain web pun nak guna bahasa penjajah, apatah lagi la PPSMI. PCB macam Pantai Cahaya Bulan pula.
Dari hari ke sehari bahasa ibunda kita kian tenggelam bersama budaya dan adat resam kita. Bahasa dan budaya merupakan satu pakej yang tidak boleh dipisahkan. Kita boleh lihat bagaimana mana bangsa Israel laknatullah yang menghidupkan bahasanya semula iaitu Hebrew sebaik membina sebuah negara haram. Tujuan utama mereka ialah untuk memulihkan kembali jati diri bangsa Israel itu sendiri dan membina satu identiti. Mereka datangkan bersama bahasa itu bersama budaya dan agama mereka. Jelas disini kita dapat lihat betapa luasnya peranan yang dimainkan oleh bahasa dalam membentuk jati diri dan budaya sesuatu bangsa.
Selain itu,saya turut berpendapat bahawa masalah sosial yang membelenggu masyarakat kita pada hari ini ialah disebabkan oleh pengaruh budaya barat yang didatangkan bersama bahasa itu. Apabila kita menerima sesuatu bahasa asing itu, secara tidak langsung akan terpalit juga budaya bangsa tersebut. Kalau budaya yang baik dibawa masuk,ia tidak menjadi masalah, tetapi yang jadi masalahnya ialah yang buruk-buruk itu yang digilai sangat (pesanan untuk diri saya). Malah bukan budaya sahaja yang dibawa bersama, lebih teruk lagi ia juga turut datang bersama ideologi dan fahaman yang menyesatkan. Itulah kuasa bahasa.
Disini saya tidak mahu menjumudkan pemikiran sesiapa, setiap bahasa di dunia ini adalah bebas untuk dipelajari. Allah telah berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 22 yang bermaksud “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”.Tetapi sebelum kita menerima mana-mana bahasa dalam diri kita, kita perlu kukuhkan diri kita dahulu dengan bahasa ibunda kita bersama budayanya. Bahasa Melayu adalah warisan tidak ternilai peninggalan nenek moyang kita selain daripada bumi Malaysia ini.
Justeru itu, melalui bahasa kita boleh tanamkan identiti Melayu yang penuh dengan adab kesopanannya dalam diri kita. Kita perlu berbangga dengan diri kita yang merupakan penutur asli bahasa Melayu. Kalau kita yang bangsa Melayu sendiri tidak mahu bertutur dalam Bahasa Melayu, pada siapa lagi hendak kita harapkan?. Pemimpin kita? Kalau pemimpin pun yang bertelinga satu, berlidah dua takkan kita nak harapkan juga. Fikir-fikirkan..wallahua’lam
No comments:
Post a Comment