Dalam surah al-Hajj ayat 40-41, Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan”.
Dalam ayat ini Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat pertolongan daripada Allah. Mereka ialah golongan yang ‘diteguhkan kedudukan mereka di muka bumi’ berdasarkan kalimat ‘makkannaahum fil ardh’ dalam surah al-Hajj ayat 41. Imam al-Hasan dan Abu al-‘Aliyah mentafsirkan golongan ini sebagai ‘golongan daripada umat ini yang diberikan kemenangan oleh Allah’. Imam Ibn Abu Najih mentafsirkannya sebagai ‘pemimpin-pemimpin’. Imam ad-Dahhak mentafsirkannya sebagai ‘mereka yang kurniakan kerajaan dan kekuasaan oleh Allah’. Kesemua pendapat ini dilaporkan dalam al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi.
Pemimpin yang bagaimanakah yang mendapat pertolongan dan diredai Allah? Secara dasarnya Allah tidak memberi cek kosong kepada para pemimpin, sebaliknya yang diberikan kepada mereka adalah amanah dan tanggungjawab. Antara tanggungjawab itu ialah “mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar” (Dr Danial Zainal Abidin).
Kita yang diberi peluang untuk memilih pemimpin mestilah mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang seseorang yang akan kita angkat menjadi pemimpin. Bukanlah sekadar membabi buta memilih pemimpin untuk memimpin kita. Pemimpin yang perlu dipilih ialah mereka yang bersedia untuk membawa kita mendekati Allah dan membantu kita dalam memudahkan urusan-urusan kita. Pemimpin bukan diangkat untuk di agungkan dan di dewakan. Tapi untuk dihormati dan disanjungi kerana kebijaksanaan mereka, keadilan mereka dan yang paling utama kerana ketaqwaan mereka.
Dewasa ini, masyarakat dilihat tidak lagi mengutamakan nilai-nilai agama dalam memilih pemimpin. Mereka lebih suka memilih pemimpin hanya berdasarkan kelantangan dan kepetahan pemimpin itu berpidato. Mereka juga lebih selesa memilih pemimpin yang mempunyai dua tiga buah “istana” di puncak bukit dan berderetan kereta mewah kerana beranggapan pemimpin mereka itu akan menjadikan mereka kaya seperti dia. Tidak kurang juga ada dalam masyarakat hari ini yang memilih pemimpin yang boleh mereka kudai untuk kepentingan diri sendiri.
Secara kasarnya, sebagai seorang muslim dalam memilih pemimpin ini bolehlah kita perhatikan dahulu bagaimana pemimpin yang akan kita akan angkat nanti menguruskan rumah tangganya. Jika dia sebagai seorang bapa dan suami, adakah dia telah melaksanakan tanggungjawab dia dalam menjauhi keluarganya dari api neraka. Jika dia seorang isteri atau ibu, adakah dia meneladani Saidatina Aisyah atau Saidatina Khadijah serta ummu mukminin lain dalam menguruskan rumah tangga. Adakah aurat dia, anak-anak dan suami terpelihara. Bagaimana pergaulan mereka sekeluarga dan sebagainya. Dari sini kita akan jawapan bahawa seseorang itu wajar untuk kita lantik sebagai pemimpin atau tidak. Jika keluarganya pun kucar-kacir dan tidak bercirikan Islami, mahukah dia kita angkat sebagai pemimpin untuk memimpin kita. Segala keputusan di tangan kita, setiap yang kita lakukan pasti akan di soal di akhirat kelak. Janganlah nanti kita tersangkut di Masyar hanya kerana memilih pemimpin yang salah, yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya, menindas rakyat dan yang menghancurkan Islam. Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment