Menurut Allahyarham Prof Hamka, adalah menjadikan satu perbezaaan diantara memandang kepada dan memandang pada sesuatu itu. Beliau menafsirkan memandang kepada sesuatu itu adalah hanya menjadikan objek yang dipandang olehnya sekadar objek jua. Dia tidak dapat mengambil sebarang keputusan, pengajaran dan kesimpulan dari apa yang dipandangnya. Pandangannya hanyalah sekadar menggunakan pancaindera semata-mata dan hasilnya tiada sebarang faedah pun untuknya.
Berlainan pula halnya dengan memandang pada sesuatu, pandangannya itu membawanya menyeberangi kepada rupa dan hakikat sesuatu itu serta ia dapat menafsirkan maksudnya dengan jelas sekali. Apabila ia memandang pada sesuatu itu, menjalar pemikirannya kepada perkara lain, ia akan berfikir tentang sebab dan akibatnya. Semakin mendalam dia berfikir atau semakin tinggi darjat pemikirannya, maka semakin jelas ia diantara yang haq dan yang batil, mahu pun yang kekal dan yang fana. Ia memandang kepada kulit dan intinya.
Misalnya jika ia memandang kepada sesuatu dan pada sesuatu. Jika ia memandang kepada satu mayat yang terbujur kaku dihadapannya. Maka dalam benaknya akan berfikir tentang mayat ini akan dikafankan dan dikebumikan sehingga mayat itu hancur luluh dimakan ulat-ulat dan cecacing yang mendiami bersama mayat itu. Sekadar ini sahaja hasil daripada pandangan terhadap mayat itu. Tetapi jika ia memandang pada mayat yang terbujur kaku dihadapannya. Ia akan membawa maksud kematian itu kepada dirinya sendiri. Dia akan terfikirkan akan tiba saatnya akan terpisah roh dan jasadnya seperti mayat itu. Dia akan menginsafi sakitnya mati itu, pedihnya azab kubur itu dan gerunnya pertanyaan dari Munkar dan Nangkir. Ini akan membawanya kembali kepada Allah S.W.T. inilah hasilnya pandangannya pada mayat itu.
Adakah pandangan kita seharian hanyalah sekadar pandangan kepada sesuatu atau kita memandang pada sesuatu? Cuba kita renungkan.
(gaya penulisan agak terpengaruh dengan bahasa Indonesia kerana ini adalah petikan dari kuliah subuh beliau)
No comments:
Post a Comment