Gerimis sudah tiba...tepat jam 8 pagi (17 April 2009) antara percaya dan tidak percaya, berita yang disampaikan KK amat memeranjatkan,’Puan Puteh meninggal’. Dia menyebut berulang kali kata-kata itu mungkin untuk menyakinkan saya. Rumate yang pulang dari menziarahi bilik Qalbi turut mengesahkan berita itu. Innalillah....inilah yang dikatakan maut itu tidak kenal usia, masa dan tempat, maut akan datang pada bila-bila masa, dan maut ini begitu hampir dengan kita. Asbab kematian arwah seperti yang diceritakan ialah serangan jantung dan beberapa komplikasi lain. Sudah termaktub sejak azali lagi bahawa Puan Puteh akan pergi menghadap Illahi pada 21 Rabiulakhir 1430H.
Selepas mendengar berita kematian beliau, terus terjelma dalam fikiran saya wajah Puan Puteh yang selama ini mengajar subjek pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Pesanan terakhir arwah pada hari Isnin lepas yang disampaikan oleh KK juga masih panas di cuping telinga. ‘Saya tak ada minggu ni, kamu belajar sendiri, kirim salam kat semua’ inilah pesanan arwah yang disampaikan oleh KK ketika menunggu arwah di perpustakaan sebelum memulakan kelas.
Tak sangka pula arwah akan meninggalkan kami dalam usia perkenalan sesingkat ini. Baru semester ini kami sempat untuk berguru dengan arwah. Kalau sebelum ni hanya dengar namanya sahaja kerana sahabat-sahabat dari kelas Pengajian Agama (B) sering menceritakan tentang kemurahan hati Puan Puteh iaitu mentor mereka. Menurut mereka, setiap kali sesi bersama mentor, arwah pasti akan meyediakan makanan serta minuman yang berupa nasi lemak dan air mineral untuk mereka. Begitulah kemurahan hati arwah yang dijelmakan bersama sifat keibuannya. Inilah juga yang melayakkan arwah untuk pergi meninggalkan kita dalam hening pagi Jumaat yang penuh keberkatan ini.
Sebelum ini arwah sering juga menceritakan tentang kesibukkannya dalam menjalankan amanah sebagai seorang isteri, ibu dan pendidik. Arwah juga ada menceritakan tentang kepuasaannya dapat berehat pada cuti hari sabtu dan ahad sebelum ni yang dirasakannya amat panjang walaupun hanya dua hari. Semoga permergian arwah ini, memberikan kerehatan kepadanya yang abadi.
Dr Yusof Al-Gardhawi dalam bukunya ‘Kemanisan Iman’ menyatakan “Sesungguhnya kamu dijadikan untuk selama-lamanya, cuma kamu berpindah dari satu kediaman ke satu kediaman. Mati itu hanyalah pengembaraan. Ia hanya perpindahan ke tempat kediaman yang abadi. Kematian bermakna keluar dari sangkar dan kulit tubuh badan menuju kepada kehidupan barzakh, dan kembali hidup di hari kebangkitan dan bermulalah kehidupan”. Selain itu,Allah juga telah berfirman, dalam surah Ali Imran, ayat 185 yang bermaksud “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”.
Berbalik kepada tajuk saya Gerimis Benar-benar tiba, saya cuba menghubungkan kematian ini dengan lirik yang pernah saya post sebelum ini iaitu Gerimis. Liriknya amat bersangkutan dengan mendung yang menerjah hari ini. Saya berasa amat tersentuh apabila membaca kembali bait-bait lirik tulisan Ito itu di saat menerima berita pemergiaan arwah. Insy-Allah lirik lagu ini akan terus menjadi ingatan saya dalam kehidupan seharian supaya dapat terus mengingati mati.
Kini arwah telah pergi meninggalkan kita semua sekaligus meninggalkan kenikmatan dunia dalam keadaan Allah memuliakannya. Untuk kita yang masih hidup, yang masih mempunyai saki baki kehidupan perlulah kita terutamanya diri saya sendiri merenung sejenak adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi maut ini?. Cukupkah bekal yang kita ada sekarang? Dan apakah pelaburan untuk akhirat yang telah kita kerjakan ketika usia kita yang lepas?. Semoga roh Allahyarhamah Puan Puteh Binti Othman dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman- Al Fatehah-
No comments:
Post a Comment