Rasullullah pernah bersabda yang bermaksud, ‘orang yang paling bijak dalam kalangan kamu ialah mereka yang mengingati mati’.
Mati merupakan satu penghakhiran kehidupan untuk setiap benda bernyawa di muka bumi ini. Tetapi bagi manusia, mati ialah permulaan kepada kepada satu episod baru kehidupan yakni kehidupan di alam barzakh yang amat menggerunkan. Mati juga merupakan satu tanda kekuasaan Allah S.W.T ke atas makhlukNya.
Alam barzakh merupakan pusat transit untuk kita semua sebelum menuju ke alam akhirat yang kekal abadi. Disini kita akan diuji, di sini juga akan beroleh kenikmatan bagi mereka yang telah lulus dengan cemerlang ujian dunia.
Berbalik kepada sabda baginda, jelas dapat kita lihat tentang kepentingan untuk mengingati dalam kehidupan ini, Imam Al Ghazali pernah berkata apabila ditanya tentang perkara apakah yang paling dekat dengan manusia, beliau menjawab mati. Mati adalah urusan Allah S.W.T dan tidak akan dilewatkan atau dicepatkan seseorang itu menemui ajal melainkan segalanya telah termaktub dalam kalam Allah.
Manusia hari ini sering mensyirikkan kematian ini dengan seribu satu alasan dan meletakkan ketentuan Allah itu sebagai asbab yang terakhir. Sebagai contoh, apabila berlaku kematian masyarakat hari ini terlebih dahulu akan mentafsir sebab kematian berdasarkan pemahaman mereka bukan terus merujuk kepada ketentuan Allah. Hakikat kematian ini sepatutnya terlebih dahulu ditafsirkan qada’ dan qadar Allah. Kematian akan datang menjemput sesiapa sahaja tak kira usia, tempat, pangkat dan darjat.
Jika pemikiran masyarakat kita pada hari tidak dapat diubah, mereka akan terus lalai dalam mengingati mati. Sedangkan setiap detik berlalu, semakin kita menghampiri kematian. Usia kita merupakan satu garis masa yang mempunyai permulaannya dan pengakhirannya. Semakin bertambah usia kita, semakin dekat kita dengan kematian. Cumanya kita tidak tahu di mana noktahnya timeline kita. Justeru itu marilah kita renungi kembali diri kita, terutamanya saya sendiri. Adakah kita benar-benar sudah bersedia menghadapi mati yang bakal menjemput kita mungkin pada saat akan datang, atau pada minit dan jam berikutnya, atau esok,mungkin lusa. Realitinya maut tetap datang menjemput,tiada siapa yang dapat lari dari kematian. Firman Allah S.W.T dalam surah Al Ankabut ayat 57, yang bermaksud ‘tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).’ Kita sering mendengar terjemahan ayat ini, tapi sejauh mana penghayatan kita, hanya kita dan Allah yang tahu. Tepuk dada tanyalah iman.
No comments:
Post a Comment