Wednesday, April 29, 2009

10 Perkara Pembatal Keislaman

1. Syirik Akbar, menyembah selain dari Allah

2. Menjadikan perantara antara dia dengan Allah seperti berdoa meminta daripada wali-wali dan memohon hajat daripada mereka

3. Tidak mengkafirkan agama yang telah dikafirkan oleh Allah dan Rasul-Nya iaitu semua agama selain Islam atau syak pada kekufuran mereka atau mensahihkan aqidah mereka yang batil seperti berkata "semua agama sama disisi Allah"

4. Beriqtikad bahawa ada ajaran yang lebih baik dari Islam atau petunjuk yang lebih baik dari petunjuk Rasulullah S.A.W.

5. Membenci apa yang dibawa oleh Rasulullah walaupun dia beramal dengannya.

6. Mengejek ajaran Islam seperti berkata; "Menyimpan janggut itu seperti kambing" atau menggelar wanita yang menutup aurat itu wanita kolot.

7. Mengamalkan Sihir

8. Membantu orang-orang kafir menguasai kaum muslimin dan memerangi muslimin.

9. Beriktiqad adanya sebahagian manusia yang boleh keluar dari sempadan syariat seperti percaya jika sampai kepada maqam zikir tertentu kewajipan solat gugur darinya.

10. Mengabaikan ajaran Islam sehingga tidak mengamalkan satu pun ajarannya dan tidak langsung belajar berkenaannya.


Sumber: At-Tibyan, Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Tuesday, April 28, 2009

Beberapa Penyakit Penuntut Ilmu


Terdapat tiga jenis penyakit yang sering dihidapi oleh para penuntut ilmu. Barangsiapa yang dihinggapi oleh salah satu penyakit ini, maka dia akan binasa. Semoga Allah memberikan kita kesihatan dan keselamatan. Penyakit- penyakit ini ialah:

1. Riak dalam menuntut ilmu dan berdakwah.

Ubatnya ialah kejujuran dan keikhlasan.


2. Dengki, penyakit ini banyak sekali menjangkiti para penuntut ilmu sedangkan hal ini
termasuk salah satu dosa besar.

Ubatnya adalah iman kepada Qadha dan Qadar, selalu meminta perlindungan dari Allah
dan mengingati kurnian-Nya


3. Takbur, balasan bagi orang yang takbur ialah kehinaan di dunia dan akhirat.

Ubatnya adalah merendahkan hati, dan mengenali jiwa secara lebih mendalam.


Sumber Penulisan Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni


Sunday, April 26, 2009

Jom Santai

Pertama:

Cikgu Kimia: Seman, tolong sebutkan formula bagi air?

Seman : H-I-J-K-L-M-N-O

Cikgu Kimia : siapa yang ajar kamu?

Seman : Cikgu la, kan cikgu yang ajar formula air H to O.

Kedua:

Hakim : Semasa kali terakhir saya jumpa kamu, bukankah saya dah cakap saya tak mahu tengok muka kamu lagi.?

Pesalah : Ya Yang Arif, itulah saya sudah pesan kepada polis, tapi mereka tak percaya.


Ketiga:

Seorang pengembara yang sedang berjalan berhenti pada seorang tua dan bertanya berapa lama lagi dia akan sampai ke kampung terdekat. Tetapi orang tua tersebut tidak menjawab dan pengembara meneruskan perjalanan. Dia mengagak orang tua itu mungkin pekak .

Belum pun jauh dia berjalan, dia terdengar ada orang memanggil.

Orang tua itu berkata “ia akan mengambil masa dalam 40 minit.”

Kenapa kamu tidak menjawab semasa saya tanya tadi? tanya pengembara itu.

Bagaimana saya boleh tahu selaju mana tuan mahu berjalan? Orang tua itu membalas.

Keempat:

Setiap malam sebelum tidur Azlan akan berdoa supaya Tumpat menjadi ibu negeri Kelantan.

Kenapa kamu minta Tumpat sebagai ibu negeri Kelantan? tanya ibunya

“Itu adalah jawapan yang saya berikan ketika peperiksaan Geografi” jawabnya dengan wajah slumber.

Saturday, April 25, 2009

Friendship that you should had..



With whom you can always be honest and open

Who takes you at face value

Who always respect you

Who helps you discover a new world within you

Who doesn’t expect you to be other than who you are

Who is always there to catch you when you fall

Who never stop believing in you

Who you can always rely upon

Who never judges you

Who has endless patience with you

Who hears the meaning behind your words

With whom you can laugh and cry unselfconsciously

Who finds new and special ways to show you you’re valued

Who feels as familiar to you as the other half of your soul

Wednesday, April 22, 2009

LIQO…satu cawan, rasa didahulukan, selera diutamakan


LIQO Chocolate Malt Drink merupakan salah satu produk bumiputera yang sedang mula menapak dipasaran sekarang. Dengan kandungan ekstrak semulajadi malt, LIQO memberikan tenaga dan kebaikan semulajadi . Rasanya yang unik setanding dengan minuman coklat malt lain dipasaran memberikannya satu identiti tersendiri. Paling penting ialah harganya yang lebih murah dari minuman coklat malt lain dipasaran memberikan pilihan kepada kita untuk mencubanya. Ia juga alternatif kepada kita sekarang ini yang sedang memboikot barangan keluaran Yahudi seperti MILO yang dihasilkan oleh Nestle.


Nestle merupakan sebuah
syarikat Swiss yang dimilikki 50.1% oleh syarikat Israel iaitu Osem Investments. Pada tahun 2000, Nestle mengumumkan untuk melabur berjuta-juta dolar di Israel dalam bidang R & D. Peter Brabeck-Letmathe yang merupakan pengerusi lembaga pengarah Nestle telah menerima Anugerah Jubli daripada Perdana Menteri Israel iaitu Netanyahu bagi pihak Nestle. Nestle dan Yahudi mempunyai hubungan yang sangat rapat. Antara produk lain keluaran Nestle yang wajib kita boikot ialah, Kit Kat, Perrier, Libby, Nescafe, Maggie, Buitoni, Nestea, Freskies, Vittel, Pure Life, Nido, Smarties, Lion, Polo, After Eight, Coffee Mate, Nesquik, Aero, Quality Street, Felix (cat food), Crosse & Blackwell, Milkmaid, Carnation, Shreddies, Baci Baby Ruth, Butterfinger, Milkybar, Frutips dll.


Berbalik kepada LIQO, minuman malt coklat ini mengandungi
serbuk koko, ekstrak malt, non-dairy cream, krim tenusu dan serbuk gula. Produk bumiputera ini 100% ditanggung halal dan dijamin kesuciannya. Produk ini dikilangkan di Kompleks Kilang SME Bank, dikawasan Perindustrian Saga, Sungai Petani. Marilah kita bersama dalam menyokong produk keluaran bumiputera Islam dan bersatu hati dalam memboikot produk Yahudi. Berhenti membeli produk keluaran Yahudi adalah sama seperti berhenti menyembelih saudara kita di Palestin. Wallahualam..

Bagi sesiapa yang berminat untuk menjadi pengedar, sila hubungi Puan Zainab di talian 04-433 8441 untuk tempahan dan keterangan lanjut.

Tuesday, April 21, 2009

Detik bersejarah buat Plato&Socrates F.C.

Gambar Hiasan

Sekembalinya dari latihan dan perlawanan persahabatan di Old Trafford, Manchester kami terpaksa mengerah tenaga untuk beraksi dalam Convocation Cup 2009. Keletihan tidak menghalang kami untuk beraksi dalam piala ini. Pada awalnya kami ingin menarik diri berdasarkan kepada keadaan fizikal semua pemain yang agak keletihan selepas mengharungi penerbangan selama 12 jam. Selain itu juga, moral pemain yang agak ‘down’ berikutan kekalahan MU kepada Everton pada separuh akhir piala F.A. melalui penentuan sepakan penalti amat mengecewakan.


Arahan dari pengurus pasukan untuk kami beraksi pada piala ini tidak boleh kami ketepikan. Selepas melakukan beberapa siri perbincangan ketika dalam perjalanan dari KLIA ke Perlis, akhirnya kami akur. Walaupun masih dalam keadaan keletihan dan kelesuan kerana beraksi dalam beberapa siri perlawanan persahabatan di Old Trafford, kami tetap ingin menunjukkan prestasi yang terbaik dalam perlawanan ini. Perubahan cuaca yang agak mendadak yang kami alami memberi kesan secara langsung kepada sistem tubuh. Beberapa pemain kelihatan kurang sihat sebaik tiba di Perlis. Sebelum ini, kami biasanya bermain ketika suhu berada pada 4 hingga negatif 3 darjah calcius. Berbanding dengan suhu di Perlis, iaitu 28 darjah calcius adalah cukup panas bagi sesetengah pemain.


Walaupun apa pun kami tetap gagahi amanah ini dan bersedia memberikan pertunjukkan yang menarik kepada puluhan ribu penyokong setia. Namun malang tidak berbau, selaku pasukan bertaraf dunia, kami agak terkilan dengan kemudahan yang diberikan, kami diminta beraksi di padang agak lembab dan berlumpur. Ini mengundang rasa tidak puas hati para pemain, mereka amat sayangkan kasut bola yang baharu dibeli di Manchester. Kasut yang harganya saya kira paling murah 1o,000 pound sterling itu tidak layak untuk beraksi dalam padang yang agak basah. Demi memikul tanggungjawab yang telah diberikan, kami tetap turun untuk beraksi tapi dalam keadaan yang sungguh terbatas sebab takut kasut mahal tu kotor. Corak permainan kami yang sangat berhati-hati telah memberikan kemenangan percuma kepada pasukan lawan.


Tetapi kami amat berpuas hati kerana kasut kami tidak kotor. Inilah kali pertama kami tewas kepada kelab yang tidak bertaraf antarabangsa macam team kami. Mujur juga para penyokong kami tidak bertindak agresif tadi seperti membakar trak polis dan memusnahkan gerai-gerai jualan yang terdapat disitu. Kami dapat rasakan yang mereka (penyokong setia) amat memahami kami. Mungkin esok akan tersebar seluruh dunia tentang berita kekalahan kami ini kerana sebelum meninggalkan padang tadi kelihatan puluhan wartawan tempatan dan asing sedang membuat liputan antaranya ESPN, BBC, CNN, Discovery Channel, Al-Jazeera, Bernama, TV3, AFP, Reuters, Harakah Daily, Berita Hairan, Bloomberg dan banyak lagi.

10 Khasiat Kopi Radix


  1. Sumber tenaga segera (Instant energi)
  2. Menghilangkan sembelit dan mencegah kanser payudara.
  3. Mengelakan pembentukan tumor dalam tubuh.
  4. Memecahkan batu dalam ginjal
  5. Perawatan asma
  6. Menguatkan jantung
  7. Menurunkan kencing Manis dan darah tinggi.
  8. Meninggalkan ketagihan merokok
  9. Merawat masaalah sexual.
  10. Bahan yang dikenali sebagai quassinoid merupakan bahan antitumor yang terdapat di dalam pokok tongkat ali. Hal ini telah diperkuatkan oleh kajian Dr. Azizah Hamid dari Universiti Putra Malaysia sekitar tahun 2000.

SINERGI 7 HERBA :

TEJA LAWANG (Cinnamomuminers)
Demam, menambah tenaga, selepas bersalin, asma, batuk.

LARAK HUTAN (Polyalthia Hypoleuca)
Obat selepas bersalin, buang angina, Tonik.

MATA PELANDUK (Ardisia Crispa)
Merawat otot, merawat sakir dada, diare, sakit tenggorokan, keracunan, pembengkakan testis, demam, batuk, asam urat.

TEBU GAJAH (Albizzia Myriophylla)
Penetral kafein, penawar demam, antidote (penawar racun), mengobati sakit telinga, membuang angina dalam badan, obat tenaga batin.

HALBAN (Vitex Pubescen)
Ramuan selepas bersalin, sakit badan, awet muda, anti oksidan, batuk.

TONGKAT ALI (Eurycoma Longifolia)
Mengandung bahan aktif B-Sitos Terol yang berfungsi merangsang pengeluaran Hormon Endrogen N-Nonacosane. Hormon ini merangsang saraf NEOCLOVENE yang dapat membangkitkan semangat serta meredakan keletihan.

MENGKUDU HUTAN (Morinda Eliptica)
Daun – Untuk meningkatkan selera makan, merawat sakit kepala, taun, cirit birit, demam, luka dan buasir.
Selain itu ia juga dikatakan telah digunakan untuk mengobati sawan dan wanita lepas bersalin.

Buah yang masak – Leucorrhoea, sakit jantung dan menghaluskan kulit muka.


Akar-
Mengubati sakit perut


sumber: Al-Wahida Marketing Sdn. Bhd.

Saturday, April 18, 2009

Gerimis benar-benar tiba....

Gerimis sudah tiba...tepat jam 8 pagi (17 April 2009) antara percaya dan tidak percaya, berita yang disampaikan KK amat memeranjatkan,’Puan Puteh meninggal’. Dia menyebut berulang kali kata-kata itu mungkin untuk menyakinkan saya. Rumate yang pulang dari menziarahi bilik Qalbi turut mengesahkan berita itu. Innalillah....inilah yang dikatakan maut itu tidak kenal usia, masa dan tempat, maut akan datang pada bila-bila masa, dan maut ini begitu hampir dengan kita. Asbab kematian arwah seperti yang diceritakan ialah serangan jantung dan beberapa komplikasi lain. Sudah termaktub sejak azali lagi bahawa Puan Puteh akan pergi menghadap Illahi pada 21 Rabiulakhir 1430H.


Selepas mendengar berita kematian beliau, terus terjelma dalam fikiran saya wajah Puan Puteh yang selama ini mengajar subjek pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Pesanan terakhir arwah pada hari Isnin lepas yang disampaikan oleh KK juga masih panas di cuping telinga. ‘Saya tak ada minggu ni, kamu belajar sendiri, kirim salam kat semua’ inilah pesanan arwah yang disampaikan oleh KK ketika menunggu arwah di perpustakaan sebelum memulakan kelas.


Tak sangka pula arwah akan meninggalkan kami dalam usia perkenalan sesingkat ini. Baru semester ini kami sempat untuk berguru dengan arwah. Kalau sebelum ni hanya dengar namanya sahaja kerana sahabat-sahabat dari kelas Pengajian Agama (B) sering menceritakan tentang kemurahan hati Puan Puteh iaitu mentor mereka. Menurut mereka, setiap kali sesi bersama mentor, arwah pasti akan meyediakan makanan serta minuman yang berupa nasi lemak dan air mineral untuk mereka. Begitulah kemurahan hati arwah yang dijelmakan bersama sifat keibuannya. Inilah juga yang melayakkan arwah untuk pergi meninggalkan kita dalam hening pagi Jumaat yang penuh keberkatan ini.


Sebelum ini arwah sering juga menceritakan tentang kesibukkannya dalam menjalankan amanah sebagai seorang isteri, ibu dan pendidik. Arwah juga ada menceritakan tentang kepuasaannya dapat berehat pada cuti hari sabtu dan ahad sebelum ni yang dirasakannya amat panjang walaupun hanya dua hari. Semoga permergian arwah ini, memberikan kerehatan kepadanya yang abadi.


Dr Yusof Al-Gardhawi dalam bukunya ‘Kemanisan Iman’ menyatakan “Sesungguhnya kamu dijadikan untuk selama-lamanya, cuma kamu berpindah dari satu kediaman ke satu kediaman. Mati itu hanyalah pengembaraan. Ia hanya perpindahan ke tempat kediaman yang abadi. Kematian bermakna keluar dari sangkar dan kulit tubuh badan menuju kepada kehidupan barzakh, dan kembali hidup di hari kebangkitan dan bermulalah kehidupan”. Selain itu,Allah juga telah berfirman, dalam surah Ali Imran, ayat 185 yang bermaksud “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”.


Berbalik kepada tajuk saya Gerimis Benar-benar tiba, saya cuba menghubungkan kematian ini dengan lirik yang pernah saya post sebelum ini iaitu Gerimis. Liriknya amat bersangkutan dengan mendung yang menerjah hari ini. Saya berasa amat tersentuh apabila membaca kembali bait-bait lirik tulisan Ito itu di saat menerima berita pemergiaan arwah. Insy-Allah lirik lagu ini akan terus menjadi ingatan saya dalam kehidupan seharian supaya dapat terus mengingati mati.


Kini arwah telah pergi meninggalkan kita semua sekaligus meninggalkan kenikmatan dunia dalam keadaan Allah memuliakannya. Untuk kita yang masih hidup, yang masih mempunyai saki baki kehidupan perlulah kita terutamanya diri saya sendiri merenung sejenak adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi maut ini?. Cukupkah bekal yang kita ada sekarang? Dan apakah pelaburan untuk akhirat yang telah kita kerjakan ketika usia kita yang lepas?. Semoga roh Allahyarhamah Puan Puteh Binti Othman dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman- Al Fatehah-

Tuesday, April 14, 2009

Apa ada dengan warna?

Ada apa dengan warna? macam-macam orang boleh tafsirkan dengan warna. Sebelum itu, anda perlu tahu bahawa hitam dan putih tidak dipanggil warna dalam seni. Saintis pula menjelaskan secara fizikal bahawa hitam bukanlah warna manakala putih adalah warna. Apa pun warna adalah antara nikmat dan anugerah dari Allah kepada kita makhluknya.

Cuba anda bayangkan jika kita ini hidup dalam dunia yang tiada warna, maksud saya yang macam dalam cerita P.Ramlee tu, hitam putih saja. Macam mana? boleh anda bayangkan? Tapi alam ciptaan Allah ini sudah cukup indah jika tanpa warna pun, ini kan pula bila ditambah lagi dengan warna, Subhanallah.... Cuba kita perhatikan lautan luas yang biru warnanya, gunung-ganang dan bukit bukau yang menghijau (untuk negara iklim khalatulistiwa), bunga-bungaan dan pelangi yang berwarna-warni.

Kita juga pernah dengar tentang terapi warna (colour vibration) yang menggunakan gelombang warna sebagai kaedah perawatan. Selain itu warna juga memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan suasana. Pernah tak anda lihat mayat dikafankan dengan kain berwarna merah? cadar katil hospital berwarna gelap? dan pakaian seragam polis berwarna pink?.

Inilah peranan warna, warna tidak hadir secara sesuka hati tanpa sebarang erti. Seperti warna kuning yang sejak dahulu lagi menjadi lambang diraja sehinggakan masyarakat pada zaman dahulu tidak dibenarkan berpakaian dengan warna kuning. Ia juga melambangkan kemuliaan raja-raja Melayu pada ketika itu. Disini ada serba sedikit yang perlu kita tahu tentang warna. Hasil daripada kajian yang telah dijalankan, warna juga boleh melambangkan hati budi seseorang.

KUNING : ceria, tahan lasak, enjoy, suka popular, suka berkawan

HIJAU : tenang, pemurah, berperikemanusiaan, kreatif, mengambil berat, banyak idea, pengasih dan penyanyang.

COKLAT : matang, sihat, berdikari, tenang.

MERAH : kemegahan, pantas, kurang sabar, bersemangat

HITAM : ego, keyakinan diri, mudah hiba, iltizam yang tinggi, komited, serius, tak pandai berlawak.

PUTIH : optimistik, suci, kedamaian, tak suka bergaduh, kurang kreatif, kadang-kadang membosankan, bersangka baik.

BIRU MUDA : sensitif, beretika, romantik, suka menolong, mudah berkorban, kerjasama, membawa kesembuhan.

PERAK/EMAS : kejayaan, ceria, positif, gigih.

MERAH JAMBU : penyanyang, bersungguh-sungguh, naluri seks yang tinggi, ekstrim apabila berfokus kepada sesuatu, sihat.

OREN : suka kebebasan, aktif, agresif, sihat.

Ini adalah sebahagian daripada kajian yang telah dilakukan berkaitan dengan warna, terdapat banyak lagi maklumat dan ilmu yang boleh kita perolehi berkaitan dengan warna ni. Sekarang terpulanglah kepada kita untuk menilai sejauh mana kebenaran dan ketepatannya.


Monday, April 13, 2009

Gerimis

Gerimis...saya rasa semua tahu apa itu gerimis. Titisan air dari gerimis yang sering dipandang enting oleh kita bisa membasahi helaian dedaunan dan menggelapkan warna alam dan dalam senyap mencipta suasana yang suram. Bila sebut pasal gerimis, apa yang ada dalam kepala kita mesti sesuatu yang negatif seperti sedih, suram, kematian dan kegagalan ditambah pula hadirnya ketika mendung. Ini juga tema yang dibawakan dalam lagu nyanyian kumpulan nasyid Far East iaitu Gerimis, saya minat sangat lagu nie, jadi dengan perasaan excited yang tak tertahan lagi saya nak kongsi bersama lagu ini dari segi lirik dan lagunya. Semoga lagu ini meninggalkan kesan kepada kita. MP3 lagu ini ada juga kat bawah, jadi boleh la dengar sambil menghayati bait-baitnya.

Tika terkuak jendela hari,
Fajar belum pun menyisih lagi,
Tercari-cari kemana telah pergi,
Dia yang pernah menemani disisi,


Kuharap sinar menerang kabus,

Agar terang lorong perjalananku,

Kusangka cerah siangku hari ini,

Mendung pula menutupi,

Gerimis ini terlalu pagi,

Menghantar sayu pilu dihati,

Gerimis ini bagai mengerti,

Dikau yang pergi takkan kembali,


Menyekat gerimis yang gugur dipipi,

Terimbau kenangan yang pernah terlukis,

Dalam gerimis yang bagaikan mengerti,

Jasadmu diusung pergi,


Kupujuk diriku tidak menyesali,

Pemergianmu tertulis di azali,
Namun hati ini sukarku bohongi,

Kehilanganmu tak berganti,


Gerimis tiba dihujungnya,

Sampai waktu kan berhenti jua,
Begitulah kehidupan kita didunia,

Tiada siapa yang kekal selamanya,

Entah bila waktu ku akan tiba
.

Lirik: ITO Lara
Lagu: Fadzli (Far East)
Album: Cinta Pertama

Gerimis - Far East

..dia dah dapat dah..

Dia dah dapat dah...

Semua orang sekarang bercakap pasal dia, semua orang kagum dengan dia

Mana taknya, dia dah dapat dah, riuh satu kampung bercakap tentang kehebatan dia.

Famili dia pun glamor sekarang. Dengar-dengar cakap, tenggelam berita Nabil bintang paling popular tu.

Ish hebat betul dia nie. Betullah kata pepatah Melayu ‘tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa tahu’.

Tapi dengar cerita dia dah lama atur strategi ni. Cuma orang tak tahu dan tak diambil peduli pun pasal dia.

Bila dia dah meletup sekarang, hah melopong la mulut-mulut kaki gossip. Tak pernah digosip pun,tup tup meletup. Manalah persekutuan gosip sedunia tak terkejut.

Mak Cik Milah brake pun tenganga , out of date orang kata kat dia. Kalau tak,dia la orang paling awal tau.

Gambar sekadar hiasan saja.

Memang hebat betul dia nie, apa orang kata ‘pandai makan, pandai simpan’.

Dengar cerita dari sumber-sumber yang sulit, panas punggung juga dia sekarang.

Semua memandang dia sekarang, orang glamor mana pergi pun, tak lepas orang pandang.

Apa-apa pun semoga dia berpuas hati dengan apa yang dia dah dapat.

Siapa dia ni? Apa dia dah dapat? Ish susah la nak cakap, bak kata Nabil yang menang semalam tu, lu pikir la sendiri.

Sunday, April 12, 2009

BIG-Rumah Seri Kenangan

Alhamdulillah..... Baru sahaja selesai program bina insan guru (BIG) yang diadakan di Rumah Seri Kenangan, Kangar. Program BIG pada kali ini yang bertemakan khidmat masyarakat telah membawa kami ke rumah orang-orang tua ni yang terletak dalam kawasan Komplek Penyanyang Dr Siti Hasmah di Utan Buluh, Jejawi Dalam, Kangar Perlis. Program ini merupakan elemen wajib yang terkandung dalam silibus kursus perguruan yang dikendalikan oleh institut perguruan. BIG kali ini adalah yang ketiga dan diadakan sejak dari semester satu PISMP lagi. Lega rasanya bila dah selesai buat program ni, selain daripada kuliah, gerko, dan pengalaman berasaskan sekolah (PBS). BIG adalah antara ramuan penting dalam melahirkan seorang insan guru yang berkualiti.

Landskap yang kemas dan bersih, sungguh mendamaikan untuk tatapan mata kasar sahaja.

Dalam BIG kali ini, kami berpeluang untuk melawat rumah orang tua Seri Kenangan yang didiami oleh warga emas yang tidak mempunyai saudara atau yang tersisih atau disisihkan oleh keluarga, hanya suasana sayu dan pilu tergambar tatkala mejejakkan kaki ini disana. Bagi saya tiada langsung kegembiraaan dan kehidupan disini, semuanya telah mati. Setiap senyuman seolah-olah dibuat dengan susah payahnya. Yang ada hanyalah wajah derita dan sengsara pada mereka. Dalam usia emas sebegini, mereka amat dahagakan kasih sayang tatkala diri menghitung hari, dosa dan pahala sebelum berangkat pergi. Dikesempatan itu juga kami sempat meluangkan masa untuk bertanya khabar kepada penghuni disini secara lebih dekat lagi. Saya berpeluang untuk bersembang dengan Pak Cik Harun yang kakinya dibahagian tapak terpaksa dipotong selepas tertikam paku karat. Yang tinggal hanyalah bahagian tumit kaki. Ini menyebabkan dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Tak banyak yang saya dapat ketahui tentang latar belakangnya. Nak tanya soalan lebih-lebih takut sensitif pula.

Seorang peserta kelihatan sedang beramah mesra di asrama lelaki.

Berlainan pula halnya ketika saya melawat rumah warga emas di Pematang Tok Gelam, Penaga, Kepala Batas semasa zaman persekolahan dulu. Mereka disana amat terbuka dalam meluahkan isi hati masing-masing. Apabila dilepaskan segala yang terbuku di hati mereka itu, tiada langsung kegembiraan yang keluar, yang keluar hanyalah kalimat yang sayu mengenangkan nasib mereka. Titisan air mata yang mengalir seiring dengan bicara mereka sungguh menyentuh hati. Tapi bagi mereka tiada siapa yang salah dalam hal ini. Bagi mereka ini sekadar ujian dari Allah S.W.T. dan harapan untuk bertemu kasih sayang tidak pernah pudar selagi roh masih di jasad.

Dalam al-Quran jelas diperintahkan untuk kita berbuat baik kepada ibu bapa, Allah menegaskan dalam firman-Nya surah Al Ahqaf ayat 15 “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". Semoga penglaman ini menjadi pengajaran yang berguna buat saya.