Friday, February 12, 2010

menilai diri..


Abdul Rahman Al-Hafiz merupakan seorang warga Vietnam yang pernah mendapatkan pendidikan agama di salah sebuah Madrasah di utara semenanjung Malaysia sebelum melanjutkan pelajaran dalam peringkat hafazan di Bangkok, Thailand. Sekarang beliau sedang menunggu untuk terbang ke Cape Town, Afrika Selatan bagi menyambung pelajarannya untuk tempoh 7 tahun lagi.

Apabila membandingkan diri saya dengan Abdul Rahman saya berasa amat bersyukur kerana diberikan jalan yang mudah untuk menuntut ilmu berbanding beliau yang mempunyai masalah kewangan untuk menyambung pelajaran. Beliau terpaksa menggunakan duit poket sendiri untuk menyambung pelajaran tanpa mendapat sebarang tajaan dari mana-mana pihak. Beliau amat memerlukan wang bagi menampung yuran pengajian dan wang untuk sara diri di sana kelak. Dengan status beliau sebagai seorang warganegara asing menambahkan lagi beban yang terpaksa beliau pikul. Sungguh berliku jalan yang beliau terpaksa lalui untuk menuntut ilmu selain daripada terpaksa meninggalkan keluarga dan tanah airnya. Mungkin terdapat hikmah yang sangat besar disebalik dugaan yang beliau tangung ini dan saya amat kagum dengan kekuatan yang beliau miliki sehingga teringat saya kepada satu kisah ketika berlakunya perang Khandak.

Sewaktu perang Khandak, bekalan makanan amat terhad kepada para mujahidin. Tambahan pula mereka perlu menyiapkan sebuah parit yang besar untuk menghalang kemaraan musuh yang ingin menyerang kerajaan Islam Madinah Al-Munawarah. Kerana kekurangan makanan dan terpaksa menanggung kelaparan, para sahabat mengambil inisiatif untuk mengikat seketul batu pada perut mereka untuk mengurangkan kelaparan.

Pada suatu hari, semasa Rasulullah datang untuk melihat para Sahabat, para Sahabat telah menyelak baju mereka untuk menunjukkan batu yang mereka ikat pada perut itu supaya Rasulullah faham dan tahu bahawa mereka berda dalam kelaparan. Rasulullah amat memahami para Sahabatnya dan baginda lantas menyelak bajunya pulak. Maka terkejutlah para Sahabat apabila melihat baginda juga mengikat batu pada perutnya dan bukan seketul, tapi dua ketul. Maka jelaslah para sahabat bahawa Rasulullah lebih lapar dan lebih menderita daripada mereka.

Kita dapat lihat disini betapa hebatnya Rasulullah dan para Sahabat ditimpa ujian dalam menegakkan Islam untuk disampaikan kepada kita sehingga ke hari ini. Begitulah juga dengan saudara Abdul Rahman. Tetapi bagaimana pula dengan kita?adakah kita sudah diuji dan benar-benar diuji.?Sesungguhnya ujian dan cabaran adalah asam garam dalam perjuangan kerana kehidupan ialah sebuah perjuangan. Wallahua'lam..


No comments: