Saturday, February 27, 2010

Helang Oh Helang

Burung helang adalah antara haiwan pemangsa yang digeruni kerana kekuatan dan ketangkasannya ketika berburu. Tidak hairanlah helang sering dijadikan simbol-simbol kepada negara, ketenteraan dan organisasi dalam mempamirkan kehebatan. Kekuatan helang disokong oleh sepasang kaki yang kuat dan kukunya yang tajam untuk mengcengkam. Selain itu helang juga mempunyai penglihatan yang tajam dan paruh yang kuat untuk mengoyak daging mangsa. Helang yang mampu hidup sehingga mencapai usia 70 tahun adalah pemangsa yang mempunyai jangka hayat yang paling panjang.

Tetapi untuk mencapai usia ini helang perlu membuat satu keputusan yang paling sukar dalam hayatnya. Apabila mencapai usia 30 tahun, bulu pelepahnya sudah menjadi tebal dan menyukarkannya untuk terbang apatah lagi berburu untuk hidup. Selain itu, paruhnya yang tajam dan panjang semakin membengkok. Kuku pada kakinya juga semakin panjang dan merekot menyukarkannya untuk mencengkam mangsa.

Pada tahap ini, helang hanya ada dua pilihan untuknya iaitu mati atau melalui satu proses yang menyeksakan untuk terus hidup. Proses ini mengambil masa selama 150 hari. Proses ini memerlukan helang untuk pergi mengasingkan dirinya dan tinggal di sarangnya. Helang akan menghentakkan paruhnya pada batu sehingga paruhnya patah bagi digantikan dengan paruh baru yang akan tumbuh. Ketika menunggu paruh barunya tumbuh, helang akan mencabut kukunya supaya digantikan dengan kuku baru yang akan tumbuh. Akhir sekali helang akan mencabut bulu pelepahnya supaya digantikan dengan bulu yang baru.

Selepas 5 bulan, helang ini akan pulih sepenuhnya dengan kuku, bulu pelepah dan paruh yang baharu. Helang seperti dilahirkan semula untuk hidup bagi tempoh 30-40 tahun lagi. Helang membuat satu perubahan besar yang menyakitkan demi untuk meneruskan kehidupan. Jika helang tidak membuat sebarang perubahan kepada dirinya ketika itu, ia akan mati.

Melakukan sesuatu perubahan ke arah kebaikan adalah amat penting dalam kehidupan ini. Biarpun perubahan itu hanya satu perubahan yang kecil, tetapi ia sebenarnya adalah langkah pertama kepada perubahan yang lebih besar dan hebat yang boleh kita lakukan dalam kehidupan ini. Allah telah berfirman dalam surah An-Anfal ayat 53 yang bermaksud "(Balasan) yang demikian itu ialah, sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. "
Wallahua'lam...

No comments: