Wednesday, December 15, 2010

Berhijrah dan berubah..


Berubah dan berhijrah adalah sesuatu yang  tidak asing lagi sesiapa saja yang sentiasa inginkan perubahan dalam hidupnya. Selaras dengan tuntutan dan perkembangan semasa, kita semua sentiasa tergerak untuk berubah mengikut arus semasa tidak kira ke arah yang positif atau pun negatif. Saya lebih suka melihat konsep berubah atau pun berhijrah dalam dalam dua bentuk iaitu minor dan major. Walaupun kita manusia yang bertabiat dan melakukan semua perkara mengikut tabiat serta mempunyai rutin, kita sebenarnya tidak 100% melakukan perkara yang sama untuk setiap hari secara tepat. Pastinya akan ada sedikit perubahan yang berlaku. Perubahan ini jarang sekali kita sedari contohnya hari ini kita makan malam sebelum jam 7.00 malam, tapi esok kita mungkin akan terlewat sedikit dan makan pada jam 8.00 malam, hari ini mungkin kita meluangkan masa selama 3 jam untuk membaca buku ilmiah tetapi esok mungkin tinggal hanya sejam kerana ada rancangan di tv yang tidak sanggup kita lepaskan. Perubahan-perubahan ini membezakan kita dengan computer  atau mesin yang telah diprogram untuk bekerja dengan tepat. Walaupun ianya kecil, tetapi ia adalah satu perubahan kerana kita tidak tetap dalam melakukan sesuatu terutamanya apabila terikat dengan masa. "Barang siapa hari ini lebih baik dari hari kemarin, dialah golongan mereka yang beruntung, barang siapa yang hari ini sama dengan hari kemarin dialah golongan mereka yang rugi dan barang siapa yang hari ini lebih buruk dari hari kemarin maka dialah golongan mereka yang celaka". 

Perubahan dalam bentuk major pula ialah sesuatu perubahan yang besar yang berlaku pada diri kita yang kesannya jelas kelihatan dan memberikan kesan yang besar kepada tingkahlaku dan tabiat kita. Selain itu, perubahan major ini juga selalunya turut meninggalkan kesan kepada orang di sekeliling kita seperti  persekitaran kerja, keluarga dan masyarakat.  Contohnya apabila seorang suami ingin meninggalkan pekerjaannya yang makan gaji untuk memberi tumpuan kepada perniagaan yang diceburi .Pastinya  keputusan ini akan memberikan kesan kepada isteri dan anak-anaknya kerana jadual hidupnya telah berubah dan tidak lagi tetap seperti waktu berkerja makan gaji dahulu, aliran kewangannya juga akan berubah dan perbelanjaan mereka seisi keluarga juga akan berubah. Kesan berantai  hasil daripada perubahan major yang berlaku adalah sesuatu yang biasa.Untuk itu sebelum berubah kita mestilah sudah memikirkan akan segala impak yang perlu kita tanggung hasil daripada perubahan yang kita lakukan. 

Bila bercakap pasal berubah pastinya dalam kepala kita tidak terlepas daripada persoalan tentang bagaimana untuk berubah atau merubah diri kita kepada yang lebih baik dari segala aspek. Untuk itu saya cadangkan kepada diri SAYA dan sesiapa saja yang ingin melakukan perubahan mempunyai beberapa perkara ini sebelum berubah
1.      Niat
Niatkan dalam hati kita untuk berubah dalam perubahanyang ingin kita lakukan dan niat kerana .Allah.

2.      Keberanian ‘dare to change’
Mesti berani  meninggalkan segala jenis tabiat dan rutin yang telah bertahun-tahun kita lakukan.

3.      Tenaga, mental, emosi
Untuk berubah terutamnya perubahan yang besar, kita perlu ada tenaga yang kuat, mental yang kukuh dan emosi yang kental bagi menghadapi iklim baru selepas berubah dan tidak mudah tertarik untuk kembali kepada sebelumnya.

4.      Pengorbanan
Kita mesti sanggup berkorban untuk mendapatkan sesuatu yang baik. Barang yang baik dan berkualiti tinggi biasanya harganya pun mahal. Harga sebuah perubahan yang kita lakukan semestinya ialah sebuah pengorbanan yang tinggi nilainya.

5.       Lakukan dengan segera
Ini yang terakhir, bila kita ada semua yang di atas tu tunggu apa lagi, terus berubah dan jangan menoleh kebelakang lagi. Kebanyakkan dari kita suka bertangguh dan ingin menunggu tarikh yang ‘sesuai’ seperti hari lahir, tahun baru, lepas ada anak dan macam-macam lagi. Perjalanan yang beribu batu bermula dengan langkah pertama.

Wallahua'lam…
8 Muharram 1432

Monday, November 15, 2010

Selamat Bercuti & Salam Aidiladha

Assalamualaikum,
Selamat bercuti saya ucapkan kepada semua warga IPG dan selamat menempuh alam pekerjaan kepada semua guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ambilan 2007 (Kohort 1st) yang telah tamat pengajian mereka pada tahun ini. Semoga anda semua terus sukses dan komited dalam dunia perguruan.

Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua teman2 blogger yang beragama Islam, kawan2 kat IPG dan seluruh umat Islam di dunia ini.Tahniah kepada semua yang telah berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci dengan izin Allah Taala.

Sunday, November 7, 2010

Di balik sekeping gambar Hillary Clinton- Harry Salzman

Menjadi satu pengalaman amat berharga buat jurugambar Bernama ketika membuat liputan lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Rodham Clinton baru-baru ini.

Mungkin tidak setanding pengalamannya merakam gambar peperangan di Iraq tujuh tahun lalu, tetapi Harry Salzman Abu Bakar menganggap persediaan sebelum mengambil gambar pegawai diplomat tertinggi negara maju itu harus diteladani bukan sahaja buat dirinya tetapi bagi pemimpin-pemimpin yang ingin gambar mereka menjadi lebih menonjol.


Apa yang diminta oleh pegawai pengiring Clinton beberapa minit sebelum majlis bermula mungkin dilihat remeh tetapi itu merupakan perincian bagi mendapatkan hasil gambar yang terbaik dan menjadikan pemimpin mereka itu kelihatan lebih menyerlah.

"Sebagai satu-satunya jurugambar mewakili media rasmi saya diajak berbincang tentang persediaan untuk mengambil gambar bekas wanita pertama Amerika Syarikat.

"Saya diberitahu lebih awal warna pakaian yang akan dipakai oleh Secretary Clinton agar dapat menyediakan penataan cahaya yang sesuai," katanya.

Ketika itu Harry Salzman ditugaskan untuk mengambil gambar majlis menandatangani tiga perjanjian persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat di Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya Selasa lalu.

"Mereka juga bertanya kepada saya keadaan manakah yang sesuai bagi posisi badan pemimpin itu sama ada mengadap ke hadapan atau mengiring ketika berdiri untuk bersalaman selepas menandatangani perjanjian.

"Apabila saya bersetuju posisi bagaimana yang saya mahu, mereka terus menandakan di atas lantai kedudukan yang harus Secretary Clinton berdiri kelak," katanya.

Hasilnya jika dilihat daripada gambar yang diambil, memang anda akan lihat posisi beliau kelihatan 'segak' dan 'kemas' berbanding orang di sekelilingnya, kata anak Perlis ini.

Malah Harry Salzman berkata cara Clinton memegang folder perjanjian sambil bersalaman juga dititikberatkan bagi menunjukkan penghargaan dan mencerminkan "ia urusan yang penting."

Harry Salzman juga berkata beliau sempat melihat bagaimana pegawai-pegawai negara itu menitikberatkan kedudukan bendera yang diletakkan di sebelah pemimpin itu agar kelihatan 'segar' dan 'bermaya'.

"Sebatang penyangkut baju diletakkan dalam gulungan bendera itu agar kelihatan lebih rapi.

"Selain itu, buku lawatan dan folder perjanjian yang bakal ditandatangani Clinton juga ditanda lebih awal agar mudah pemimpin itu untuk menurunkan tandatangannya," katanya.

Malah mereka tidak menggalakkan kehadiran 'dayang-dayang' untuk menunjukkan bahagian mana yang perlu ditandatangani ketika majlis berlangsung, katanya.

Warna tirai baldu juga ditetapkan sebagai biru gelap, digunakan di belakang upacara menandatangani perjanjian dan dibiarkan kosong tanpa sebarang latar belakang yang ditulis berkaitan majlis berkenaan.

Mereka mengatakan mereka tidak mahu menggunakan tirai berwarna terang atau berkilat supaya penataan cahaya lebih baik untuk kamera.

"Cuba kita fikirkan mengapa mereka perlu memikirkan tentang semua ini untuk pemimpin mereka," katanya.

Harry Salzman berkata untuk meletakkan replika kecil kapal terbang bagi majlis memeterai perjanjian antara Malaysia Airlines dan Pratt and Whitney juga diperincikan.

"Saya ditanya di mana mahu diletakkan replika itu. Selepas mendapat sudut yang saya mahu, sekali lagi dibuat satu tanda di atas meja di mana apabila giliran perjanjian itu tiba untuk ditandatangani, replika itu akan diletakkan di tempat yang saya mahukan."

Harry Salzman berkata beliau turut teruja untuk mengambil gambar setiausaha negara itu yang dilihat pandai membuat 'gerakan' yang disukai oleh mana-mana jurugambar untuk merakam gambarnya.

"Beliau kelihatan 'hidup' walaupun gambar diambil dalam bentuk 'stills'.

Pergerakan tangan, senyuman yang lebar dan pandangan yang lembut tapi tepat ke arah lensa dari matanya yang biru.

"Saya berharap pemimpin dan pegawai lain juga dapat menonjolkan diri sepertinya walaupun setakat bergambar. Gambar turut memberi impaknya. Bukankah satu gambar boleh memberi seribu satu cerita?"

--Bernama

Ulasan:
Ketelitian dan perincian adalah aspek yang saya rasa masih kebanyakkan daripada kita rakyat Malaysia masih ketinggalan. Dari segi pengurusan diri hinggalah ke peringkat pengurusan tertinggi kita selalunya tidak menekankan aspek ketelitian dan perincian dalam melakukakn sesuatu. Ramai dari kita yang lebih suka untuk membuat kerja seperti sekadar melepaskan batuk di tangga atau cincai. Apa yang patut kita lakukan melihat sesuatu itu dari sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecil perkara. Sekecil-kecil perkara yang sering diambil remeh dan dipandang ringan adalah lebih penting dari memperelokkan perkara yang besar. Wallahua'lam.

Thursday, November 4, 2010

Gambar banjir sekitar Kangar, Perlis-Hari Ketiga

Antara gambar yang sempat diambil ketika meronda-meronda sekitar Kangar.

































permandangan dari belakang IPG Perlis

Duit Sunnah/Sunnah Money

Duit sunnah @ Sunnah Money adalah matawang yang digunakan semasa zaman Rasulullah SAW. Barang atau benda yang menjadi duit sunnah pada ketika itu ialah emas (dinar), perak (dirham), gandum, barli, kurma dan garam. Emas dan perak adalah dua jenis logam yang bernilai manakala empat jenis matawang lagi yang terdiri daripada gandum, garam, barli dan kurma adalah barangan komoditu yang menjadi kegunaan harian masyarakat pada masa itu. Barang-barang ini mempunyai nilainya yang tersendiri dan dijadikam wang pada masa tersebut untuk menjalankan urusan jual beli. Dalam erti kata lain, ia mempunyai nilainya tersendiri dalam wang itu sendiri tidak seperti sekarang. Sekarang kita menggunakan matawang kertas atau syiling yang tiada nilai di dalamnya dan nilainya sentiasa berubah-ubah mengikut pasaran dan inflasi. Hari ini dengan RM 2.00 kita mungkin boleh beli sebiji burger tetapi 5 atau 10 tahun akan datang, dengan RM 2.00 kita mungkin hanya mampu untuk membeli benjo (burger telur). Susut nilai matawang ini adalah sesuatu yang tidak adil dalam sistem Islam. Ini adalah ideologi yang dibawa oleh barat untuk memusnahkan sistem kewangan Islam yang telah terbukti adil dan berkesan. Sistem Barat akan mengekalkan yang kaya akan terus kaya manakala yang miskin akan terus terpenjara dengan kemiskinan kerana kekayaan tidak lagi beredar dalam sistem ekonomi yang saksama.



Wednesday, November 3, 2010

Banjir di Perlis

Banjir di Perlis sampai ke kemuncaknya semalam apabila air dari Empangan Timah Tasoh yang berada dalam paras bahaya telah dilepaskan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kecelakaan yang lebih besar. Saya yang tinggal di sekitar Stadium Utama Kangar mula merasai tempias kehadiran air bah seawal jam 7.00 pagi apabila air di kawasan tinggalan sawah dihadapan rumah mula meningkat naik. Selain itu Jalan Kaki Bukit yang menghubungkan Beseri dan Kangar mula ditenggelami air yang pada malam sebelumnya masih lagi boleh dilalui oleh kenderaan ringan.  Pada masa yang sama keadaan banjir yang semakin buruk menyebabkan bekalan elektrik diputuskan pada jam 12 tengah hari. Paras air yang semakin meningkat menyebabkan beberapa buah batang jalan lagi dinaiki air dan ditutup kepada semua jenis kenderaan ringan. Ini termasuk jalan-jalan utama ke pusat bandar Kangar. Secara ringkasnya, saya dan rakan-rakan yang lain sebenarnya sedang terperangkap dalam banjir dan tiada jalan keluar untuk pergi ke mana-mana kerana semua jalan telah dinaiki air. Kami hanya boleh bergerak di sekitar kawasan stadium yang kawasannya jelas lebih tinggi dari kawasan sekitarnya. Mujurlah kami telah mempunyai sedikit bekalan makanan yang sempat dibeli pada sebelah paginya untuk mengisi perut. Pada malamnya dalam samar-samar cahaya lilin kami menikmati malam yang tidak mungkin akan dilupakan sepanjang hayat sambil mengukur paras air yang mengintai-intai untuk memasuki rumah. Pagi tadi, alhamdulillah keadaan banjir menunjukkan tanda semakin surut. Pagi tadi juga kami satu rumah menikmati nasi banjir yang berlaukkan ayam goreng pada harga RM 5.00 sebungkus. Jam 3.00 petang 3 November 2010 bekalan elektrik kembali pulih, tekanan air paip semakin kuat dan air banjir semakin surut. Semoga keadaan ini terus bertambah baik sehingga mangsa terakhir banjir yang berada di pusat pemindahan banjir kembali pulang ke rumahnya. Wallahua'alam.

Tuesday, October 26, 2010

Ori lagi ASLI

Kesempatan untuk pergi memancing pada waktu malam adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu. Tanpa sebarang perancangan saya bersama tiga orang lagi classmate telah mengambil keputusan untuk pergi memancing pada jam 10.00 malam. Lokasinya ialah parit tepi sawah di Persiaran Tunku Syed Putra, Kangar, Perlis. Detail tu lokasi memancing, sapa-sapa yang berminat bolehlah mai memancing sekali. Ini adalah kali pertama kami pergi memancing pada waktu malam di situ. Sebelum ni memang selalu dah memancing kat situ tapi pada waktu petang. Tempat tersebut agak meriah pada waktu petang kerana terdapat ramai orang datang memancing disitu. Terdapat banyak ikan puyu dan haruan di kawasan sekitar sawah dan parit disitu. 

Kedatangan kami pada waktu malam yang sekadar ingin mengubah angin sambil-sambil mengisi masa study week tidak sia-sia. Kali ini tangkapan kami bukan lagi puyu dan haruan seperti biasa. Walaupun pada mulanya keadaan hambar kerana sekadar menaikkan puyu sahaja, tetapi suasana berubah dengan drastiknya apabila Che Lah berjaya menaikkan ikan keli bersaiz yang agak besar. Bermula dari saat itu, saya dan dua orang lagi classmate mula panas punggung mencari port baru untuk mencuba nasib mendapatkan keli seperti Che Lah. Kami semua memang dah lama mengidam untuk menaikkan keli kerana sebelum ini hanya puyu dan haruan sahaja yang setia menyambar umpan cengkerik yang kami letakkan. Tak lama kemudian, keadaan bertambah panas apabila Apek pula berjaya membawa naik seekor lagi keli. Keli tersebut bersaiz sederhana besar. Kali ini saya terasa betul-betul tercabar dan bersemangat untuk dapatkan juga sekurang-kurangnya seekor ikan keli pada malam ini. Sekarang tinggal saya dan seorang lagi classmate/villagemate iaitu Dee yang masih belum berjaya menaikkan keli. Perasaan tak puas hati saya rasa jelas terpancar kat muka kami dua bila tengok dua orang rakan berjaya menaikkan ikan yang diidam-idamkan selama ini. "Your friend fails, you feel bad, your friend tops, you feel worse". Mungkin kata-kata ini sesuai untuk mengambarkan perasaan kami..haha. Apa-apapun allhamdulillah, tak lama kemudian saya akhirnya berjaya juga membawa naik seorang ikan keli dan diikuti oleh Dee tak berapa lama lepas tu. memang rasa betul-betul puas dan berbaloi bila kita dapat apa yang kita idamkan. 


Yang originalnya ialah, sebaik sahaja sampai dirumah sewa, kami siangkan semua ikan yang telah berjaya ditangkap dengan memancing kecuali ikan puyu sebab...(ikan tu panjang umur lagi la tu). Selepas siap dicuci dengan bersih dan sebersihnya, kami 'renangkan' ikan tersebut dalam minyak yang sedang panas sehingga betul-betul garing.

....selepas dibasuh dan dicuci...

....selepas digoreng dgn garam & kunyit....

...last sekali, sedikit hiasan...;
Masa mula makan ikan keli yang digoreng tu baru saya mula terfikir yang adakah ini hidangan ikan keli original (bukan yang dipelihara) yang pertama pernah saya nikmati.? Saya rasa YA...saya amat jarang makan ikan keli dan yang sejenis dengannya, mula makan ikan keli goreng secara profesional pun semasa menuntut di Perlis. Itu pun sebab ikan keli goreng di Restoran Anjung Keli rasanya sangat istimewa. Selain dari itu, ikan keli lain yang pernah saya makan ialah yang dibeli dari pasar dan dapat free dari Pak Su yang memelihara ikan keli organik. Tak pernah lagi sebelum ni saya makan ikan keli yang ditangkap sendiri atau yang original. Jadi inilah kali pertamanya saya menikmati ikan keli yamg original. Dalam hati ini rasa betul-betul puas dan bersyukur. Bila kita dapat menikmati sesuatu yang original, hasil dari usaha kita sendiri ia akan menjadi satu kepuasaan dan satu memori yang akan sukar untuk terpadam dari ingatan. Wallahu'alam.

Falsafah memancing bagi saya:
1.Dapat ikan itu bererti rezeki dari Allah.
2.Bertanggungjawab diatas hasil pancingan kita, jika tidak mahu dimakan atau dipelihara ikan tersebut sila  lepaskannya kembali atau beri pada orang yang amanah untuk uruskan ikan tersebut. 

Tuesday, October 19, 2010

Aduh..celaka punya batu!

Assalamualaikum...
Pernah tak kita semua tersepak batu, tersadung tunggul atau terlanggar kerusi meja serta barangan perabot terutamanya semasa kita berjalan? Saya rasa pasti ramai antara kita yang pernah melalui saat tersebut sama ada di hadapan orang ramai atau pun dikala keseorangan tiada siapa yang melihat. Apabila terjadi perkara sebegini pastinya akan perpancul dari mulut kita secara automatik "tak guna punya meja", "bila masa pulak ada kat sini", "celaka punya batu" dan macam-macam lagi lah cacian dan makian yang akan keluar dari mulut kita. Malah mungkin ada yang bukan sekadar dicerca batu tersebut, tetapi turut mencarut-carut kerana tidak berpuas hati. Tetapi tidak semua kita begitu, mungkin akan ada dalam kalangan kita yang akan mengucapkan "Allahu Akbar" atau "Subhanallah" apabila ditimpa musibah sedemikian rupa. Apa yang ingin saya tekankan disini ialah berapa ramai dari kita yang akan menyalahkan diri kita sendiri apabila kita tersepak atau tersadung sebarang objek yang berlaku diatas kecuaian diri kita sendiri. 

Tindakan reflek manusia lebih cenderung untuk mempertahankan diri mereka di atas satu-satu perkara yang berlaku berbanding untuk menyalahkan diri mereka sendiri walaupun ia berlaku di atas kecuaian diri mereka sendiri. Kita hanya akan dapat berfikir kemudiaannya apabila kita dapat membuat pertimbangan dengan waras. Tapi bukan semua yang akan membuat pertimbangan dengan waras di atas setiap apa yang berlaku. Apa pun pengajaran yang paling penting apabila kita tersepak batu atau tersadung tunggul kita perlu lah segera kembali kepada Allah. Bukannya cacian dan makian yang dilemparkan malah keluhan sekalipun usahlah diungkapkan kerana Dia lah yang telah mengaturkan segala-segalanya untuk kita. Tanpa izin dan perkenan-Nya tiada apa pun yang boleh berlaku. 

Seperti kisah seorang ahli sufi yang terkenal iaitu Bishr Al Hafi tatkala beliau tersepak batu dalam perjalanan dan berdarah kakinya lalu mengucap syukur beliau ke hadrat Illahi dan tidak sedikit pun beliau mengeluh. Lalu si isteri bertanya kepada beliau, "Wahai tuan kenapa engkau mengucapkan syukur sedangkan kaki kau sakit dan berdarah kerana tersepak batu?". Jawab Bishr Al Hafi dalam nada yang tenang dan gembira "Saya di tegur tadi oleh Tuhan ketika di jalan, jadi apabila ditegur oleh kekasih mana mungkin sakit yang di rasa tapi enak yang terasa". Begitulah betapa tingginya darjat keimanan Bishr Al Hafi yang juga guru kepada Imam Ahmad ibn Hanbal. Kita mungkin tidak akan sampai kepada tahap tersebut tetapi jika kita ada usaha ia sudah memadai untuk kita melakukan perubahan untuk berada dekat dengan kekasih yang kekal abadi, Allah Rabbul Jalil. Wallahua'lam..
 

Thursday, October 14, 2010

Ciri2 Golongan Kidal

Assalamualaikum...
Pada entri kali ini saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang ciri-ciri psikologi orang kidal (menulis dengan tangan kiri). Mungkin anda seorang yang kidal, atau anda ada adik-beradik yang kidal, atau anda mengenali sesiapa sahaja rakan-rakan anda yang kidal (sebenarnya orang ramai kurang ambil kisah tentang seseorang itu kidal atau tidak). Maklumat ini mungkin boleh membantu anda untuk mengenali mereka dengan cara lebih dekat lagi. Orang kidal lebih banyak menggunakan otak kanan berbanding otak kiri dan hanya 10% populasi manusia dunia ini adalah kidal. Ciri-ciri golongan kidal secara psikologinya dalam bidang kepimpinan menurut Stanley Coren, seorang profesor psikologi di University of British Columbia dan penulis buku The Left-Hander Syndrome: The Causes and Consequences of Left-Handedness, mengatakan golongan kidal lebih cenderung untuk mendesak, mampu menguasai orang, bijak memanipulasi keadaan dan lebih besar egonya. Semua ciri-ciri tersebut menyesuaikan mereka untuk menjadi seorang pemimpin dan seorang ahli politik yang baik. Lebih kurang 66% daripada presiden US untuk 30 tahun terakhir ini terdiri daripada golongan kidal seperti Bill Clinton, George H.W. Bush, Ronald Reagan dan Gerald Fold. Selain itu, Barack Obama dan John McCain timbalannya adalah golongan kidal.
Dari segi personaliti pula, golongan kidal lebih cenderung untuk hidup secara berdikari dan mudah mengadaptasi diri mereka dengan sebarang keadaan. Ini kerana mereka telah terbiasa dengan keadaan dunia yang tidak disediakan untuk mereka tetapi mereka mampu menyesuaikan diri. Bagi seseorang yang kidal, kesusahan yang paling kerap mereka alami ialah untuk menggunakan gunting. Walaupun sekarang telah di cipta gunting khas untuk golongn kidal, namun pasarannya masih tidak meluas seperti di negara maju. Barangan ini biasanya di pasarkan secara online sahaja. Ini menyebabkan capaiannya terhad dan sukar didapati.
Kesukaran dan kesusahan ini sebenarnya membantu mereka untuk membina satu daya tahan dalam diri dan berkebolehan untuk menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan. Oleh itu sama ada kita kidal atau tidak ia tidak pernah menjadi penghalang kepada kita untuk kita mencapai apa yang kita citakan selama ini. Setiap apa yang diciptakan oleh Allah pasti ada hikmah disebaliknya.Firman Allah yang bermaksud, "Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu dari azab neraka" (Surah  Sad ayat 27).
Wallahua'lam .



Thursday, October 7, 2010

William Kamkwamba

Assalamualaikum...
William Kamkwamba
William Kamkwamba...ada sapa-sapa kat sini yang kenal William Kamkwamba? Pastinya ramai yang belum mengenali mamat ini. William Kamkwamba asalnya adalah seorang remaja biasa yang tinggal di Wimbe, Malawi. Seperti remaja-remaja lain yang tinggal di sebuah negara Afrika yang miskin, kemiskinan dan kelaparan adalah sesuatu yang tidak asing lagi bagi mereka. Selain itu, peluang untuk mendapatkan pendidikan menengah yang terhad dan berbayar menyukarkan lagi kehidupan. Pada tahun 2001 Malawi telah mengalami krisis makanan yang teruk sehingga membawa kepada kebuluran. Keluarga William yang juga petani tidak terlepas daripada krisis ini. Kemarau dan kekurangan air membawa kepada kemusnahan tanaman dan ternakan. Bekalan makanan yang terhad telah memaksa keluarga William mencatu makanan mereka. Mereka makan sekali sahaja setiap hari iaitu pada sebelah malam. Hidangannya pula ialah nsima (tepung jagung yang dimasak dan dijadikan doh)  sebanyak tiga suapan untuk setiap seorang. Boleh kita semua bayangkan?. William juga terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti sekolah menengah dan membantu bapanya.Oleh kerana minatnya yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan terutamanya tentang fizik, beliau akan pergi ke perpustakaan untuk membaca buku-buku berkaitan fizik pada waktu lapang. Oleh kerana penguasaannya dalam bahasa Inggeris lemah, beliau akan tertumpu kepada gambar-gambar yang terdapat di dalam sebuah buku untuk lebih memahami isi kandungannya. Pada suatu hari beliau telah membaca buku berkaitan kincir angin yang berfungsi untuk menghasilkan tenaga elektrik dan mengepam air. Bertitik tolak dari situ, beliau berusaha untuk membina sebuah kincir angin. Beliau mula mengumpul bahan-bahan terpakai seperti kipas traktor, rangka basikal, dinamo basikal dan paip PVC untuk merealisasikan impiannya itu. Ramai orang yang memperlekehkan usahanya itu termasuklah ibunya yang mengangap anaknya itu sudah gila. Tetapi akhirnya beliau telah berjaya membuktikan kepada semua orang bahawa usahanya tidak sia-sia dan beliau tidak gila. Kincir angin pertamanya berfungsi untuk menghasilkan elektrik dan telah menarik perhatian penduduk kampung. Kincir anginnya yang kedua pula bertujuan untuk mengepam air. Ciptaannya telah menjadi buah mulut semua orang sehinggalah beliau terkenal sehingga sekarang.
kincir angin ciptaan beliau
William yang sekarang sedang melanjutkan pelajaran di America telah membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil untuk dilakukan oleh kita walau siapun kita. Kita hanya akan lebih kreatif apabila kita berfikir dalam keadaan yang terdesak sehingga mampu untuk menghasilkan ciptaan yang hebat seperti beliau. Sentiasa berada di dalam zon selesa adalah sesuatu yang patut kita elakkan. Kita perlu sentiasa berfikir dan bekerja supaya kita lebih matang dan kreatif dalam membuat keputusan. Ia juga mampu membantu membina daya tahan kepada diri kita supaya kita dapat berfikir dan bekerja dalam apa jua keadaan terutamanya dalam dunia sekarang yang semakin pantas.
Wallahua'lam...
 
William Kamkwamba D.O.B 5 August 1987

Sunday, October 3, 2010

Resepi Jagung Lemak Manis

Assalamualaikum...
Ini rasa-rasanya entri kedua saya sepanjang berblog ini yang berkaitan dengan makanan. Entri pertama ialah tentang telur rebus dan kicap manis. Kali ni saya nak kongsi sikit tentang resepi jagung lemak manis yang biasanya kita beli dalam cup polistren tu. . Kalau tak salah saya, harga satu cup polistren jagung ni RM2 atau RM2.50 tapi bila saya buat sendiri anggaran sebatang jagung yang berharga 50 sen boleh dapat 2 cup polistren. Untung betul buat bisnes jagung nie. Kat bawah ni ada beberapa langkah yang mudah untuk buat jagung lemak manis. 
 1. Kita mesti ada jagung yang telah direbus dan garfu.
 2. Gunakan garfu untuk cucuk bahagian isi jagung untuk asingkan isinya daripada pulur. Cucuk garfu sehingga rapat pada pulur jagung dan cungkil isi jagung. Sangat mudah.
buat macam nie..
tinggal lagi sikit..
dah siap pun..

 3. Masukkan setengah sudu besar marjerin dan gaulkan
 4. Untuk rasa manis, masukkan setengah sudu besar gula pasir. Kalau nak ada rasa masin bolehlah ditambah garam.


Selepas anda baca entri ini saya rasa lebih baik kita buat sendiri sebab senang saja nak buat dan yang paling penting kita boleh makan sepuasnya 

credit to : Rafiuddin (photo), Mat Alip (jagung dan marjerin)