Assalamualaikum...
Marhaban Ya Ramadhan...inilah ungkapan yang ramai antara kita sedang ungkapkan buat masa ini sempena kedatangan Ramadhan pada tahun ini. Kedatangan Ramadhan disambut oleh sesiapa sahaja yang dapat merasakan roh Ramadhan itu yang datang membawa seribu rahmat dan berkat. Mengimbau kembali Ramadhan yang lepas pasti ada antara kita yang akan tersenyum dan ada yang akan bermasam muka dan tidak kurang juga yang hanya akan sekadar mengerutkan dahi.
Bagi yang tersenyum apabila mengimbau Ramadhan yang lepas, pastinya satu nostalgia yang indah telah kita lakarkan pada Ramadhan yang lepas itu. Satu nostalgia yang tidak akan dilupakan. Nostalgia atau pengalaman apabila kita dapat merasakan sendiri kemanisan Ramadhan itu sehingga kita hanyut beribadah didalamnya lantas membawa satu perubahan kepada diri kita. Bagi mereka yang tersenyum ketika mengimbau Ramadhan yang lepas, kekalkan momentum itu untuk Ramadhan pada tahun ini dan akan datang sebagai tanda syukur dan taat kita kepada Allah kerana masih memberi peluang kepada kita bertemu Ramadhan. Bagi mereka yang bermasam muka apabila mengimbau Ramadhan yang lepas kerana tidak dapat mencapai atau merasakan kemanisan roh Ramadhan itu, jangan kecewa dan berputus asa kerana selagi nyawa masih di jasad, selagi itulah peluang untuk kita kembali ke jalanNya terbentang luas. Bulatkan azam dan tekadkan iman supaya Ramadhan yang dilalui pada tahun ini akan menjadi satu nostalgia yang manis untuk dikenang dan dijadikan satu motivasi untuk menghadapi Ramadhan seterusnya dalam hidup ini. Buat mereka yang sekadar mengerutkan dahi apabila mengimbau kembali ingatan pada Ramadhan yang telah lepas, ingatlah bahawa tiada satu apa pun yang berlaku dan yang terjadi di dunia hanya untuk dipersia-siakan. Setiap satunya ada hikmah dan rahmat yang tersembunyi. Kenali roh Ramadhan dengan mengenali biografinya. Nescaya akan hadir roh Ramadhan dalam diri orang yang mencarinya.
Sebagai kesimpulannya, peringatan buat diri saya terutamannya yang selalu alpa dan leka, belajarlah dari Madrasah Ramadhan ini sebagai bekalan buat kita tempuhi hari-hari penuh mencabar di akhir zaman ini. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment