Monday, March 1, 2010

Kisah pemotong kayu..

Pada zaman dahulu terdapat seorang pemotong kayu yang gagah dan rajin bekerja. Suatu hari dia telah pergi meminta kerja sebagai penebang pokok daripada seorang tauke balak. Beliau telah diterima bekerja dengan tauke balak tersebut dan diberikan tawaran gaji yang amat lumayan. Dia juga dibekalkan dengan sebilah kapak sebagai alat untuk menebang pokok. Dia amat berpuas hati dan bergembira dengan tawaran tersebut serta berjanji pada dirinya yang dia akan melakukan yang terbaik.Pada keesokannya, dia memulakan kerja dengan hati yang senang dan di penghujuung harinya dia telah berjaya menebang 15 batang pokok. Taukenya memujinya kerana hasil kerjanya yang mengagumkan. Pada hari selepasnya dia pergi menebang pokok dengan lebih bersemangat lagi kerana masih teringatkan pujian yang diberikan oleh taukenya pada hari sebelumnya. Tetapi malangnya, pada penghujung hari, dia hanya mampu untuk menebang 10 batang pokok sahaja.

Pada hari ketiga bekerja, prestasinya semakin merosot apabila hanya mampu menebang 7 batang pokok walaupun di telah bekerja dengan bersungguh-sungguh dan semakin merosot untuk hari seterusnya.

Terdetik dalam hati si pemotong kayu mungkin beliau sudah kekurangan tenaga untuk menebang pokok. Jadi dia mengambil keputusan untuk pergi berjumpa dengan taukenya bagi menjelaskan perkara tersebut serta memohon maaf.

Ketika berjumpa dengan taukenya, dia telah menceritakan segalanya dan dia juga tidak dapat memahami kenapa prestasinya semakin teruk dari hari ke sehari walaupun dalam sudut hatinya dia berfikir bahawa mungkin dia semakin lemah.

Lalu taukenya berkata, 'sepangjang kamu pergi menebang pokok sudah berapa kali kamu menajamkan kapak?'. Pemotong kayu itu tercengang dan dia menjawab, 'belum pernah lagi tuan, saya terlalu sibuk menebang pokok sehingga tiada masa untuk menajamkan kapak'. Lalu sedarlah si pemotong kayu itu bahawa kerana dia tidak pernah menajamkan kapak itu prestasi kerjanya semakin merosot.

Begitulah juga dengan kita, kemahiran yang kita ada mesti ditajamkan dengan memperoleh pengetahuan-pengetahuan baharu yang berguna dan relevan dengan kehendak semasa. Kaedah untuk belajar dan mendidik pada zaman dahulu mungkin sudah tidak sesuai lagi untuk di adaptasi pada masa kini.

Justeru adalah amat penting bagi kita untuk sentiasa mengupdate pengetahuan dan segala tingkahlaku selaras dengan perubahan masa dan sejajar dengan tuntutan Islam.

No comments: