Monday, January 30, 2012

Catatan Penempatan Pertama Sebagai Guru

Assalamualaikum, saya mulakan catatan ini bermula saat mendapat berita negeri tempat saya bakal memulakan tugas sebagai seorang guru. Sebelum itu saya, saya akan memnceritakan serba sedikit tentang latar belakang pendidikan saya. Saya merupakan seorang guru yang dilahirkan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis (IPGK Perlis), dulunya Maktab Perguruan Perlis, kemudian pada tahun 2006 dikenali sebagai Institut Perguruan Perlis sehingga tahun 2011 barulah nama IPGK Perlis digazetkan.Berikutan perubahan nama yang berlaku, kursus-kursus yang ditawarkan di IPG juga sering berubah nama. Saya pada mulanya mengikuti satu kursus yang dipanggil Program Pra Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) pada tahun 2006. Pada tahun berikutnya ia dikenali dengan nama Kursus Perguruan Lepasana Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) yang kami selalu sebut 'kapal selam'. Pada tahun itu juga, bagi guru pelatih yang telah tamat program Pra-ijazah selama satu tahun enam bulan dan menyambung pelajaran peringkat ijazah dipanggil Program Pengajian Rendah Empat Tahun (PPRET). Bahasa mudah bagi program ini ialah 'pa pret'. Saya merupakan generasi kedua yang mengikuti program ijazah sarjana muda perguruan dari IPG selepas program Diploma Perguruan dihentikan. Ini berikutan hasrat kerajaan pada ketika itu untuk meingkatkan profesion perguruan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PPIP). Maka kursus diploma telah dinaik taraf kepada ijazah sarjana muda. Jadi untung la juga sebab terus buat ijazah di IPG.Sebenarnya terdapat juga satu program ijazah berkembar antara IPG dan Open University Malaysia (OUM) sebelum program PISMP ditawarkan. Kursus ini dinamakan Program Sarjana Muda Keguruan -OUM (PSMK-OUM). Mereka mengikuti kursus perguruan menggunakan kurikulum OUM di IPG pada ketika itu. 

Selepas setahun setengah pra-ijazah (Julai 2006 - Disember 2007) dan empat tahun dalam kursus ijazah (2008-2011), alhamdulillah dengan izin Allah, saya telah dapat menamatkan pengajian. Selepas menamatkan pengajian saya terus mengikuti kursus induksi dan temuduga SPP. Syukur kepada Allah kerana semuanya berjalan lancar.

Maka, detik seterusnya yang ditunggu ialah untuk mengetahui tempat untuk berkhidmat sebagai seorang guru. Pada masa itu, semua tidak sabar-sabar lagi untuk memulakan tugas sebagai seorang guru dan berita tentang penempatan guru menjadi topik hangat setiap kali berbicara. Maklumlah selepas lima tahun setengah pengajian, 6 bulan latihan mengajar dan satu bulan program interhship, pastinya berkobar-kobar semangat untuk mencurahkan segala pengetahuan yang telah ditimba sepanjang tempoh itu.

Pada 11 Januari 2012, jika saya tidak salah, jam 9.00 malam, melalui laman web KPM, semua guru pelatih boleh menyemak penempatan mereka dengan memasukkan nombor kad pengenalan.Alkisahnnya, pada ketika itu saya sedang memancing bersama kawan karib saya sejak kecil yang juga rakan sepengajian hingga ke IPG. Memang karib sangat sebab dari kecil main sama-sama, masuk sekolah menengah yang sama, tinggal sama-sama di asrama dan akhir sekali dapat tawaran melanjutkan pelajaran di tempat yang sama. Allah sudah takdirkan begitu. Sedang kami memancing, kawan saya telah mendapat berita bahawa hampir semua rakan-rakan dari kumpulan Matematik telah ditempatkan di Sarawak Bumi Kenyalang. Dia mendapat berita melalui 'facebook'. Pada ketika itu, saya masih belum memiliki akaun facebook. Tetapi, dia hanya mendiamkan diri saja dan mengajak saya pulang kerana katanya ikan tidak ada pada malam tersebut. Kami telah mengunggu selama dua jam lebih, tapi tida sebarang tarikan atau sambaran. Sebenarnya, kalau pergi memancing ni. sayalah orang pertama yang akan buka mulut untuk ajak pulang kalau dah tunggu lama tapi seekor ikan pun masih belum mengena. Sayalah yang paling kurang sabarnya dalam hal memancing ini antara kami. Walaupun agak pelik sebab dia yang mengajak saya pulang, saya tidak mengesyaki apa-apa kerana mungkin ada benar juga cakapnya. Biasanya kalau semasa air sedang pasang, tapi ikan masih tidak mengena,agak sukar untuk mendapatkan ikan pada waktu tersebut. Berdasarkan pengalaman sikit-sikit dalam arena memancing, pada waktu air pasang ikan sangat aktif jika kita memancing ditepi pantai dan umpan lebih mudah untuk mengena. Pada malam itu kami memilih untuk melabuhkan joran kami berhampiran jambatan kereta api dilaluan masuk ke pelabuhan. Nampaknya tiada rezeki untuk malam tu,dan memang biasa sebenarnya pulang dengan tangan kosong ni. Tapi ada juga hari kami dapat membawa balik hasil tangkapan.

Semasa dalam perjalan pulang. saya telah menerima satu SMS dari rakan sekelas yang memaklumkan dia telah memeriksa untuk saya dan memberitahu bahawa saya telah ditempatkan di Sarawak. Pada masa itu perasaan saya terus bercampur-campur, sedih,gembira,takut dan bermacam-macam lagi. Adalah satu ingauan ngeri buat kami semuanya pada ketika itu jika ditempatkan di seberang laut. Masing-masing telah yakin akan ditempatkan di negeri pilihan masing-masing seperti yang tercatit dalam borang penempatan. Saya telah memilih Pulau Pinang kerana saya yakin akan dapat. Tapi realitinya adalah apa yang paling saya takutkan. Nampaknya sekarang ia sudah menjadi satu kenyataan. Perkara yang membuatkan saya sedih ialah saya akan berjauhan dengan ibu bapa saya selepas ini. Pastinya pada ketika itu, jika disebutkan Sarawak, akan terpancar dalam minda tentang jarak yang jauh dan hanya boleh dihubungkan dengan kapal terbang. Bukan mudah untuk berjumpa lagi selepas ini kerana faktor jarak dan pengangkutan. Perkara yang membuatkan saya sedikit gembira ialah apabila mendapat tahu bahawa bukan saya seorang sahaja yang dihantar ke sana. Ramai lagi yang menerima nasib yang sama seperti saya. Saya dapat menarik nafas sedikit kerana kalau yang perempuan pun ditempatkan di sana, saya sebagai lelaki seharusnya lebih tabah menerima keputusan ini.Saya terus memberitahu rakan saya tentang keputusan penempatan saya kepadnya dan dia hanya mengangguk tanda faham. Kami kemudian bergerak pulang, dalam perjalan pulang, kami singgah sekejap untuk minum. Maklumlah penat memancing, tamabahan pula tak dapat seekor ikan pun, mestilah lagi penat

Semasa duduk di kerusi kedai makan, barulah kawan saya ni membuka cerita. Sebenarnya dia telah menerima berita tentang negeri kami ditempatkan lebih awal. Dia sengaja tidak memaklumkan kepada saya kerana tidak mahu saya pun turut hilang mood untuk memancing. Kalau dia cakap awal-awal, memang saya akan ajak dia pulang terus masa tu. Memang akan hilang mood nak memancing bila mendapat berita macam tu. Jadi kami pun berborak la tentang apa nasib kami seterusnya, di bahagian mana pula kami akan ditempatkan nanti kerana pada malam tersebut kami hanya dimaklumkan tentang negeri penempatan sahaja. Bahagian atau daerah akan ditentukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri. Kami turut memberikan harpan dan motivasi sesama sendiri untuk menerima keputusan ini dengan redha dan berharap tidak ditempatkan dikawasan pedalaman. Semua orang pastinya sedia maklum bahawa Sarawak mempunyai banyak penempatan dikawasan pedalaman. Jika ditempatkan dikawasan pedalaman, semestinya akan lebih sedih dan pahit. Kami memang sedia maklum tentang kawasan pedalaman yang jauh disana, mengambil masa yang lama untuk sampai, tiada jalan raya, tiada elektrik dan talian telefon. Semua ini sudah diterangkan semasa dalam tempoh kursus supaya kami dapat menerima keadaan ini jika ditempatkan nanti. Tapi, pada masa tu, saya tidak pernah terfikir akan ditempatkan di Sarawak, dikawasan pedalaman dan sebagainya. Bila mendapat tahu saya ditempatkan di Sarawak, bayangan-bayangan ini kembali datang dalam ingatan. Mula terfikirkan rumah panjang, sungai, orang Iban, sumpit, tidur dalam pondok, tidak ada elektrik, lilin, makan ikan sardin dalam tin, masak dengan dapur kayu dan bermacam-macam lagi.Semuanya bermain-main dalam fikiran saya.

Selepas minum dan sembang, kami pun pulang. Pada malam itu, dalam kereta masing-masing memilih untuk berdiam diri kerana memikirkan kehidupan seterusnya yang pasti akan jauh berubah dari sekarang. Masing-masing mempunyai bayangan yang tersendiri dan masalah-masalah yang berbeza-beza yang bermain dalam fikiran. Apabila tiba di rumah, ibu dan bapa saya telah tidur, saya telah membawa kunci rumah sendiri kerana tidak mahu menyusahkan mereka untuk membuka pintu untuk saya.

Semasa di rumah, saya terus membuka komputer dan memeriksa sendiri maklumat penempatan saya untuk memuaskan hati saya. Sebelum ini hanya mendengar dari kawan yang tolong semakkan untuk saya. Bila saya semak sendiri dan tengok sendiri, barulah saya puas hati dan dapat baring untuk tidur. Tapi pada malam itu saya tidak dapat melelapkan mata dan bermacam-macam bayangan muncul kembali dalam fikiran saya. Saya mula rasa seram sejuk, kaki saya mula menjadi sejuk seperti demam. Hampir satu badan saya berselimut pada malam itu kerana tidak tahan sejuk. Jika demam, badan akan terasa panas dan kaki menjadi sejuk, tapi kali ini semua sejuk. Saya mencuba juga untuk melelapkan mata pada malam itu dengan memejam mata dengan harapan untuk terlena. Akhirnya saya dapat juga terlena beberapa ketika, kemudia terjaga dan terlena lagi sehinggalah bunyi bacaan ayat al-Quran kedengar dari masjid. Sudah menjadi kebiasaan dikampung saya, apabila masuk waktu syuruk, siak akan memainkan kaset bacaan al-quran dari pembesar suara masjid untuk mengejutkan orang kampung solat subuh. Saya sudah biasa dengan keadaan ini dan jika ada bacaan surah Yasin yang dimainkan, pastinya terdapat kematian dalam kawasan qaryah. Semua penduduk kampung sudah sedia maklum dengan isyarat ini.

Memandangkan saya tidak dapat melelapkan mata pada pagi itu, saya terus bangun dan pergi ke bilik air untuk bersiap bagi solat subuh. Bukan selalu saya bangun awal untuk solat subuh. Selepas saya keluar dari bilik air, saya nampak mak dah siap memakai kain telekung. Saya terus cakap pada mak tentang penempatan. Mak terus terkejut dan mengucap panjang, saya terus cakap semua rakan-rakan yang lain turut sama termasuk kawan karib merangkap jiran saya. Saya beritahu mak ramai yang akan ditempatkan di Sarawak nanti. Mak tak perlu risau sebab pergi beramai-ramai dan perempuan turut sama. Saya cuba untuk meredakan situasi seketika. Mak terus menunjukkan reaksi sedikit lega dan nampak sedikit tenang. Saya kemudian menyiapkan diri dan menunaikan solat subuh. Selepas solat subuh, saya dapati mak dan abah sudah duduk di atas kusyen di ruang tamu. Abah kemudian terus memulakan bicara, "kalau tak pi tak boleh ka?". Saya terus menerangkan tentang situasi tersebut dan nampaknya abah faham. Saya boleh menolak penempatan ini, tetapi tiada lagi jaminan untuk saya akan ditempatkan dimana-mana nanti dalam erti kata lain saya akan menganggur dan tidak akan menjadi seorang guru. Maka, mata abah dan mak  mula berkaca pada waktu itu. Saya faham perasaan mereka apabila saya terpaksa meninggalkan mereka nanti. Saya merupakan anak bongsu dan satu-satunya anak lelaki. Kedua-dua kakak saya telah mendirikan rumah tangga dan mengikut suami masing-masing. Mereka hanya mengharapkan saya untuk tinggal bersama. Walaubagaimanapun saya tetap kena terima tawaran ini dan membuat persiapan sebelum berangkat ke Sarawak.

Selepas subuh, saya kembali untuk tidur, dengan harapan apabila bangun nanti keputusan ini akan berubah. Pada masa itu, terasa semuanya samar-samar saja. Keputusan ditempatkan di Sarawak bukanlah satu berita yang mudah untuk diterima oleh saya. Seperti yang saya tulis sebelum ini, memang tidak pernah terbayang langsung untuk menjejakkan kaki disana. Pagi itu, suasana hujan renyai-renyai seolah-olah turut merasai kesedihan yang dirasakan oleh mak dan abah. Saya hanya terasa lemah badan ini, dan masih belum betul-betul normal seperti sebelum mendengar berita ini. Jiran-jiran mula tahu tentang berita penempatan saya selepas mak sampaikan pada mereka. Mereka pun turut memberikan reaksi yang pelbagai.Tidak kurang juga yang memberikan kata semangat kepada saya. Hari itu terasa sangat muram dan bergerak dengan begitu pantas.

Saya perlu melakukan pesiapan untuk ke sana secepat mungkin memandangkan hanya tinggal kurang dari seminggu saya perlu melapor diri. Kami yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak perlu melapor diri di Hotel Pan Pacific KLIA pada 16 Januari. Dari sana nanti, kami akan diterbangkan secara berperingkat-ringkat ke Sabah dan Sarawak. Saya mula dihubungia oleh pegawai-pegawai dari kementerian untuk urusan penempatan untuk penyediaan dokumen-dokumen penting. Antaranya ialah Passport atau Dokumen Perjalanan Terhad (DPT), membuka akaun KWSP, membalas surat setuju terima tawaran penempatan dan menyediakan salinan dokumen-dokumen diri serta disahkan. Saya menguruskan hal-hal ini bersama kawan saya. Saya menemani dia untuk membuat DPT di Pejabat Imigresen Pulau Pinang yang terletak di Seberang Jaya. Pada masa ini saya tidak terfikir untuk membuat DPT kerana saya telah diberi pilihan untuk menggunakan DPT atau Passport. Memandangkan passport saya masih belum tamat tempoh, saya akan menggunakan passport sahaja nanti untuk urusan keluar masuk ke negeri Sarawak. Sebenarnya, passport hanya sah laku untuk tinggal di Sarawak selama 90 hari, saya sebenarnya memerlukan DPT untuk disahkan (seperti permit kerja). Jika saya mempunyai DPT yang dicop oleh Jabatan Imigrisen, barulah saya dapat tinggal disana melebihi 90 hari atau selama saya bertugas sebagai guru disana.. Agak cerewet sebenarnya apabila difikirkan semula, dalam satu negara, tapi peraturan berbeza dan memerlukan permit khas seperti orang asing. Semasa saya hendak meninggalkan bagunana Jabatan Imigrisen, saya telah menerima satu panggilan dari pegawai KPM berhubungan urusan penempatan dan meminta saya mencatatkan senarai urusan yang perlu dilaksanakan. Saya sudah sedia maklum lebih awal melalui rakan-rakan yang terlebih dahulu menerima panggilan. Jadi ini merupakan ulangkaji bagi saya untuk lebih ingat dan faham lagi.

Selepas menyiapkan DPT, kami terus bergerak ke pejabat KWSP yang terletak tidak jauh dari situ untuk membuka akaun. Urusan di KWSP sangat cepat dan cekap. Tidak sampai 20 minit, urusan kami untuk membuka akaun KWSP selesai.

 Memandangkan saya perlu melapor diri pada 16 Januari 2012 di Kuala Lumpur, saya telah berbincang dengan keluarga tentang pergerakan saya ke sana nanti. Saya tidak mahu menyusahkan mereka untuk menghantar saya kerana jarak yang jauh. Lagipun saya boleh belajar berdikari sendiri sebagai persedian untuk pergi ke seberang laut nanti. Kakak saya yang tinggal di Kuantan telah mengambil keputusan untuk menghantar saya ke Kuala Lumpur atau lebih tepat lagi ke Hotel Pan Pacific nanti untuk melapor diri. Dia telah menetap di Kuantan selepas mengikuti suaminya yang bertugas disana. Saya hanya bersetuju sahaja, memandangkan juga dia sedang bercuti pada masa itu dan hendak pergi melawat keluarga iparnya disana.


 ..( bersambung)

No comments: