Tanggal 11 September 2011 bersamaan 13 Syawal 1432H jam 3.15 pagi telah mencatat satu peristiwa yang akan kekal dalam ingatan buat selama-selamanya kepada En Yaakup sekeluarga apabila permaisuri dalam keluarga mereka telah dipanggil menghadap Illahi dan meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya. Allahyarhamah pergi meninggalkan suami dan 4 orang anak secara tiba-tiba selepas mengadu sesak nafas. Pada malam tersebut arwah tidur bersama anak perempuannya yang pulang ke rumah untuk mengambil arwah ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan perubatan cara Islam selepas rawatan konvesional tidak dapat mengesan penyakit yang arwah alami. Sudah menjadi kebiasaan arwah untuk tidur bersama satu-satunya anak perempuannya apabila anaknya pulang ke kampung. Namum pada jam pada 3 pagi, arwah bangun dan pergi ke bilik suaminya lalu mengejutkan suaminya untuk memberitahu bahawa dirinya sesak nafas sambil memohon maaf kepada suaminya. Tidak lama kemudian, arwah menghembuskan nafas yang terakhir disisi suami yang tercinta dalam keheningan pagi. Permergian arwah secara tiba-tiba adalah sangat mengejutkan kerana arwah bukannya terlantar sakit atau mempunyai penyakit yang kronik. Beliau hanya mengadu lenguh-lenguh badan dan keletihan. Tetapi apabila melakukan pemeriksaan kesihatan di beberapa buah hospital dan klinik, penyakit yang arwah alami tidak dapat dikenalpasti sehingga mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk mencuba perubatan Islam sebagai ikhtiar yang terakhir. Nampaknya Allah lebih menyayangi dan merindui arwah sehingga menjemput arwah dalam masa yang sebegini pantas seperti yang telah tertera pada Loh Mahfuz. pemergiaan arwah sangat menyedihkan keluarga ini yang sentiasa memerlukan belaian kasih sayang seorang isteri dan ibu. Arwah merupakan seorang suri rumah tangga yang sangat rajin dan bertanggungjawab diatas setiap tugas yang dilakukannya. Walaupun anak-anaknya sudah dewasa, tetapi sebagai seorang ibu arwahlah yang menjaga makan minum dan pakaian anak-anaknya. Walaupun sibuk dengan tugas-tugas lain sebagai seorang suri rumah, beliau akan sentiasa memastikan pakaian suaminya dan anak-anaknya diseterika terlebih dahulu sebelum dipakai. Beberapa jam sebelum arwah meninggal dunia beliau telah sempat menyeterika baju suami dan anaknya untuk digunakan mereka pada esok hari. Selain itu arwah sangat menitikberatkan kebersihan dan kekemasan dalam apa jua keadaan. Jika sesiapa yang pernah bermalam di rumahnya, kita pasti akan dapat mendengar bunyi orang membasuh seawal pagi. Arwah akan membasuh kain buruk yang telah digunakan setiap hari dengan tangan dan menggunakan kain buruk yang telah dibasuh pada setiap hari. Begitulah serba sedikit tentang sifat arwah seorang yang sangat menitikberatkan kebersihan dan kekemasan. Pada hari-hari terakhir arwah, arwah sentiasa memohon maaf dengan setiap orang yang dikenalinya apabila berjumpa. Tidak hairanlah, sehingga saat ajalnya begitu hampir, beliau bangun untuk bertemu suami bagi memohon maaf. Selain terkenal dengan sifat pemaafnya, arwah juga merupakan seorang yang peramah dan cepat akrab apabila menjalinkan hubungan. Sifatnya sangat disenangi oleh semua orang terutamanya mereka yang rapat dengan arwah. Itulah serba sedikit yang saya tahu tentang arwah semoga arwah berbahagia disana dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah
Pn Normah Bt Osman
(20 Januari 1954 - 11 Sptember 2011)
(20 Januari 1954 - 11 Sptember 2011)
No comments:
Post a Comment