Tuesday, January 25, 2011

Marah

Assalamualaikum,
Sesiapapun pastinya pernah merasai perasaan ini iaitu marah. Sifat marah tidak boleh lari daripada kita yang sekadar bergelar insan biasa dimuka bumi ini. Sebagai insan yang biasa, dalam kehidupan seharian kita sentiasa terikat dengan nafsu amarah yang telah bersarang dalam diri. Cumanya bagi setiap individu itu ia mungkin berbeza dari segi banyak atau sebesar mana nafsu amarah itu yang telah bersarang dalam dirinya dan cara mengawalnya. Bagi saya perasaan marah adalah sesuatu yang normal kepada semua orang tetapi ia bukanlah sesuatu yang baik, ia bersifat negatif. Perkara negatif ini perlu kita jauhi dan elakkan supaya ianya tidak memudaratkan kita dan orang lain. Jadi bagaimana boleh kita hindarinya daripada memudaratkan kita. Allah S.W.T telah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 133-134 yang bermaksud " Dan bersegeralah kamu kepada ampunana Tuhanmu dan syurga yang seluas langit dengan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik pada waktu lapang atau sempit, dan orang-orang yang menahan marahnya serta memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang bebuat kebajikan. ".Daripada intipati ayat tersebut kita dapat lihat betapa besarnya ganjaran yang akan diterima oleh mereka yang mampu menahan rasa marahnya di dunia ini. Menahan rasa marah bukanlah sesuatu yang mudah terutamanya bagi golongan belia yang selalu digelar darah muda. Rasa cepat marah dan memberontak yang terhasil adalah sesuatu kelaziman bagi golongan ini yang masih samar-samar dalam mencari pengertian hidup. Lantas kembali kepada ajaran Islam yang sebenar adalah ubat yang paling mujarab. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, orang yang kuat itu bukanllah orang yang menang bergusti, tetapi orang yang kuat itu ialah orang boleh mengawal dirinya ketika marah [HR Bukhari & Muslim]. Selain itu Abu Hurairah pernah meriwayatkan bahawa pada suatu hari, seorang lelaki mendatangi Rasulullah S.A.W. Ia berkata kepada baginda. "Ya Rasulullah, Nasihatilah saya. Sabda baginda,"Jangan engkau marah". Lalu baginda ulangkan beberapa kali, dan sabdanya, "Jangan engkau marah".[HR Bukhari]. Penekanan Rasulullah tentang hadith diatas jelas menunjukkan kepada kita betapa baginda amat memandang berat tentang pentingnya untuk kita menahan marah. Kerana biasanya apabila kita marah, jauhlah malaikat-malaikat dari kita dan berbondong-bondonglah syaitan yang akan datang untuk menghasut kita. Orang yang dalam keadaan marah akan bertindak diluar kewarasan seperti memukul, membunuh, mencaci dan merosakkan harta benda awam. Lekaslah kita sedar jika kita sudah terjebak dengannya, seeloknya jika redakan api kemaharan yang ditiup syaitan itu dengan berwudu' dan solat sunat 2 rakaat serta berdoa untuk memohon ampunan dari-Nya kerana mengikut hawa nafsu. Wallahua'lam

1 comment:

Erin said...

terima kasih atas peringatan.