Monday, August 10, 2009

BIG Siri 4 memang best!!

Pada 7 hingga 9 Ogos 2009 saya telah berkesempatan untuk berkunjung ke Kg Banggol Saga, Bongor, Baling, Kedah Darul Aman bersempena dengan Program Anak Angkat. Program ini dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan silibus Program Bina Insan Guru (BIG) Siri 4. Ini adalah program anak angkat yang pertama seumpamanya yang pernah saya sertai. Ia adalah sebuah pengalaman yang amat berharga dan indah. Layanan yang istimewa dari keluarga angkat, jawatankuasa program dan penduduk Kg Banggol Saga tidak mungkin dapat dilupakan. Walaupun penduduk kampung masih dalam keadaan sibuk kerana menguruskan keadaan kampung dan rumah selepas baharu sahaja dilanda ribut pada 28 Julai 2009 namun mereka tetap bersedia menyambut kedatangan kami dari IPGM Perlis dengan layanan yang amat istimewa. Selain daripada keramahan penduduknya, Kg Banggol Saga juga menjanjikan hidangan makanan yang pasti akan membuka selera anda. Gulai batang pisang, gulai ikan masin dengan nenas, sambal tumis petai, ikan keli masak lemak, kerabu pucuk paku, rebung, sambal belacan dan beberapa hidangan lagi membuatkan kami tanpa segan silu untuk menambah nasi setiap kali waktu makan tengahari. Itu tidak termasuk lagi dengan layanan dari keluarga angkat yang tidak kurang hebatnya. Pastinya cucur cempedak yang rangup menjadi hidangan paling popular waktu pagi dan petang disana. Seterusnya, kepada keluarga angkat saya Mejar (B) Hj. Zakaria Bin Abdul Rahman (abah) serta isteri Pn Hjh. Aishah Bt. Mohd Hashim (mama) semoga hubungan silaturahim yang baru perputik ini akan terus terpelihara sehingga ke akhir hayat.

...muka penuh konfiden...

...hati-hati dik...

...semakin jauh, semakin sayang...

...kejar jangan tak kejar...

...sempat pose lagi...

...sambutan untuk sukaneka kanak-kanak amat menggalakkan...

kerang free ni...makan jangan x makan,kat Kuala Perlis sekilo 4-6 ringgit ni.

..birthday boy..ropi...berbaju kuning, berkaca mata..

..lambung baik2..

...penglibatan orang kampung amat dialu-dialukan dalam setiap aktiviti yang dijalankan...

..setelah penat "berjuang" dalam sukaneka..

...bergambar bersama keluarga angkat, semoga ukhwah yang dibina berkekalan...

..majlis perpisahan yang sungguh sayu diiringi dengan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W...

..kami berangkat pulang dulu..kalau ada umur yang panjang, insya-Allah kita akan bertemu lagi...

..lambaian akhir...

Batang selasih permainan budak,
Berdaun sehelai dimakan kuda,
Bercerai kasih bertalak tidak,
Seribu tahun kembali juga,

Saturday, July 25, 2009

10 Wasiat Assyahid Hasan Al-Banna

(Assyahid Hasan Al-Banna 14 Oktober 1906-12 Febuary 1949)


1. Apabila mendengar azan maka bangunlah sembahyang serta-merta walaubagaimana keadaan sekalipun.

2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.

3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam.

4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.

8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.

9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.


10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.

Jantung


Jantung adalah antara organ asas dan terpenting bagi kita. Namun kita jarang sekali berfikir bagaimana jantung berkerja untuk kita sejak kita dari dalam kandungan lagi sehinggalah ke saat ini. Untuk pengetahuan anda,jantung berdenyut sekitar tujuh puluh dua kali seminit dan kira-kira empat puluh juta kali setahun!. Berat jantung biasanya sekitar 350gm hingga 450gm bagi orang dewasa dan biasanya bersaiz sebesar penumbuk individu itu sendiri dan ia akan terus mengepam darah untuk disalurkan ke seluruh badan tanpa henti sepanjang hayat kita. Ketika merasa gembira, jantung kita akan berdenyut lebih pantas, dan ia berdenyut perlahan ketika kita berehat. Jantung kita juga melakukan penyenggaraan ini secara automatik ketika kita tidak menyedarinya. Setiap kali jantung kita berdenyut, ia mengepam darah ke seluruh badan kita. Apa yang kita perlukan untuk hidup terdapat di dalam darah ini. Setiap sel kita menerima oksigen dan makanan yang diperlukan daripada darah. Jantung kita mengepam sekitar 43,000 liter darah setiap hari, cukup untuk memenuhi 150 tab mandian. Jika anda mempunyai sebuah akuarium, anda boleh andaikan pam yang membekalkan oksigen itu adalah jantung anda. Jika pam itu berhenti berfungsi, ikan-ikan didalam akuarium akan mati kerana kekurangan oksigen, begitulah juga dengan kita. Jantung yang terbahagi kepada empat bahagian itu, mempunyai perentaknya sendiri yang bertindak menggerakkan otot-otot jantung untuk mengepam darah ke seluruh badan. Memandangkan peranannya yang amat penting dalam tubuh kita, jantung perlu dipelihara dengan sebaiknya supaya ia dapat terus berkerja untuk kelangsungan hidup kita. Amalkan pemakanan yang sihat, kurangkan makanan yang berlemak kerana lemak yang terkumpul didalam saluran darah boleh menyebabkan saluran darah tersumbat dan membawa kepada kegagalan jantung untuk beroperasi.Wallahua'lam.

Sunday, July 12, 2009

Jom...berpantun

Assalamualaikum, memandangkan bahang kehangatan pertandingan pantun memantun di antara semua IPG di seluruh Malaysia sudah terasa. Molek la jugak dipostkan beberapa rangkap pantun kat sini sebagai tanda sokongan kepada kalian yang masuk bertanding. Bagi mereka yang memang obses dalam jual beli pantun,untuk peringatan umum, pantun-pantun ini BUKAN UNTUK DI JUAL.

Berguna hidup kerana beradat
adat lembaga jadi pakaian

sempurna hidup kerana syahadat

syahadat dijaga mengukuhkan iman


Berbaju kurung bertudung labuh
berkain songket berselipar Jepun
awal pagi dah sembahyang Subuh
agar hidup sentiasa rukun

Pagi-pagi minum kopi
bekalan untuk perjalanan ke Johor

pandu kereta berhati-hati

masuk waktu sembahyang Zuhur

Orang kaya berkereta besar
sambil bersembang memakan kacang
bila tibanya waktu Asar
itu tandanya hari dah petang

Waktu petang menjamah roti
roti dibeli di kedai Che Syarip

mulut ibu tak henti-henti

menyuruh adik sembahyang Maghrib


Wanita cantik lelaki kacak
hulurkan senyuman muka berseri
bila malam sembahyang Isyak
baru cukup 5 waktu sehari.

Adat mati dikandung tanah
dunia tinggal harta pun tinggal

selamat mati mengandung ibadah

banyak amal banyak bekal


Buta Warna

Buta warna adalah disebabkan oleh ketidakupayaan seseorang untuk membezakan sesetengah warna. Ini berlaku kerana pigmen yang bertindak untuk mengesan warna di dalam kon sel retina tiada atau rosak. Kebanyakkan masalah buta warna adalah diwarisi dan kehadirannya boleh dikesan sejak lahir lagi. Secara purata, 1 daripada 12 orang lelaki dan 1 daripada 20 orang perempuan berisiko untuk buta warna.

Individu yang mempunyai masalah buta warna biasanya akan menghadapi masalah untuk melihat warna merah, hijau, biru (lampu isyarat) atau campuran daripada warna-warna tersebut. Kebiasaan warna merah dan hijau akan ditafsir sebagai satu warna yang sama.

Ini adalah contoh penglihatan untuk mereka yang normal dan yang mempunyai masalah buta warna.

warna pelangi-penglihatan normal

warna pelangi-penglihatan buta warna dengan Deuteranope (simulation). Absence of green retinal photoreceptors.
warna pelangi-penglihatan buta warna dengan Protanope (simulation). Absence of red retinal photoreceptors
warna pelangi-penglihatan buta warna dengan Tritanope (simulation). Absence of blue retinal receptors.

Berdasarkan kepada contoh di atas, kita dapat lihat dengan jelas sekali terdapat jurang perbezaan yang agak besar bagi mereka yang menghidapi masalah buta warna dan individu yang normal dalam mengesan warna. Saya berasa amat bersyukur sekali kerana dengan rahmat dari Allah s.w.t. saya dihindarkan dari penyakit ini dan dapat menikmati warna-warna alam yang sungguh indah sekali. Bagi mereka yang kurang bernasib baik, mereka patut berbangga kerana dalam kalangan hamba Allah yang ramai, mereka terpilih untuk diuji. Wallahua'lam.


Friday, July 10, 2009

Di mana Engkau...

Nukilan: Prof. Dr. Hamka

Di mana Engkau hai kekasihku,

apakah di asap menjulang langit,

di awan bermega-mega,

di angin sepoi-sepoi,


Di mana Engkau hai kekasihku,

di tangis anak bendungan ibu,

apakah di kembang yang mulai mekar,

apakah di senyum anak ketika ayah pulang dari pekerjaan,


Allah..di mana Engkau yang kekasihku,

apakah pada lampu kehabisan minyak,

pada nafas yang akan keluar dari badan,

mana dia yang tadinya bergerak,

mana yang tadinya masih bercakap,

mana dia,


Di mana Engkau hai Tuhanku,

apakah di dua nisan sesaing,

apakah di kubur dengan puding pancawarna,

di pohon kemboja yang telah tumbuh,

di tanah merah penggalian,


Di mana Engkau hai kekasihku,

Engkau ada,

dalam dadaku,

Allahu Akhbar.