Wednesday, December 15, 2010

Berhijrah dan berubah..


Berubah dan berhijrah adalah sesuatu yang  tidak asing lagi sesiapa saja yang sentiasa inginkan perubahan dalam hidupnya. Selaras dengan tuntutan dan perkembangan semasa, kita semua sentiasa tergerak untuk berubah mengikut arus semasa tidak kira ke arah yang positif atau pun negatif. Saya lebih suka melihat konsep berubah atau pun berhijrah dalam dalam dua bentuk iaitu minor dan major. Walaupun kita manusia yang bertabiat dan melakukan semua perkara mengikut tabiat serta mempunyai rutin, kita sebenarnya tidak 100% melakukan perkara yang sama untuk setiap hari secara tepat. Pastinya akan ada sedikit perubahan yang berlaku. Perubahan ini jarang sekali kita sedari contohnya hari ini kita makan malam sebelum jam 7.00 malam, tapi esok kita mungkin akan terlewat sedikit dan makan pada jam 8.00 malam, hari ini mungkin kita meluangkan masa selama 3 jam untuk membaca buku ilmiah tetapi esok mungkin tinggal hanya sejam kerana ada rancangan di tv yang tidak sanggup kita lepaskan. Perubahan-perubahan ini membezakan kita dengan computer  atau mesin yang telah diprogram untuk bekerja dengan tepat. Walaupun ianya kecil, tetapi ia adalah satu perubahan kerana kita tidak tetap dalam melakukan sesuatu terutamanya apabila terikat dengan masa. "Barang siapa hari ini lebih baik dari hari kemarin, dialah golongan mereka yang beruntung, barang siapa yang hari ini sama dengan hari kemarin dialah golongan mereka yang rugi dan barang siapa yang hari ini lebih buruk dari hari kemarin maka dialah golongan mereka yang celaka". 

Perubahan dalam bentuk major pula ialah sesuatu perubahan yang besar yang berlaku pada diri kita yang kesannya jelas kelihatan dan memberikan kesan yang besar kepada tingkahlaku dan tabiat kita. Selain itu, perubahan major ini juga selalunya turut meninggalkan kesan kepada orang di sekeliling kita seperti  persekitaran kerja, keluarga dan masyarakat.  Contohnya apabila seorang suami ingin meninggalkan pekerjaannya yang makan gaji untuk memberi tumpuan kepada perniagaan yang diceburi .Pastinya  keputusan ini akan memberikan kesan kepada isteri dan anak-anaknya kerana jadual hidupnya telah berubah dan tidak lagi tetap seperti waktu berkerja makan gaji dahulu, aliran kewangannya juga akan berubah dan perbelanjaan mereka seisi keluarga juga akan berubah. Kesan berantai  hasil daripada perubahan major yang berlaku adalah sesuatu yang biasa.Untuk itu sebelum berubah kita mestilah sudah memikirkan akan segala impak yang perlu kita tanggung hasil daripada perubahan yang kita lakukan. 

Bila bercakap pasal berubah pastinya dalam kepala kita tidak terlepas daripada persoalan tentang bagaimana untuk berubah atau merubah diri kita kepada yang lebih baik dari segala aspek. Untuk itu saya cadangkan kepada diri SAYA dan sesiapa saja yang ingin melakukan perubahan mempunyai beberapa perkara ini sebelum berubah
1.      Niat
Niatkan dalam hati kita untuk berubah dalam perubahanyang ingin kita lakukan dan niat kerana .Allah.

2.      Keberanian ‘dare to change’
Mesti berani  meninggalkan segala jenis tabiat dan rutin yang telah bertahun-tahun kita lakukan.

3.      Tenaga, mental, emosi
Untuk berubah terutamnya perubahan yang besar, kita perlu ada tenaga yang kuat, mental yang kukuh dan emosi yang kental bagi menghadapi iklim baru selepas berubah dan tidak mudah tertarik untuk kembali kepada sebelumnya.

4.      Pengorbanan
Kita mesti sanggup berkorban untuk mendapatkan sesuatu yang baik. Barang yang baik dan berkualiti tinggi biasanya harganya pun mahal. Harga sebuah perubahan yang kita lakukan semestinya ialah sebuah pengorbanan yang tinggi nilainya.

5.       Lakukan dengan segera
Ini yang terakhir, bila kita ada semua yang di atas tu tunggu apa lagi, terus berubah dan jangan menoleh kebelakang lagi. Kebanyakkan dari kita suka bertangguh dan ingin menunggu tarikh yang ‘sesuai’ seperti hari lahir, tahun baru, lepas ada anak dan macam-macam lagi. Perjalanan yang beribu batu bermula dengan langkah pertama.

Wallahua'lam…
8 Muharram 1432