Semasa melawat blog salah seorang anak TGNA iaitu Ust Nik Abduh untuk melihat kupasan beliau tentang isu politik dalam masjid saya telah terpandang description pada blog beliau yang bertajuk MASANYA MEMILIH JALAN YANG LURUS iaitu tiada kehidupan selain akhirat. Apa yang ingin saya bincangkan disini ialah maksud tulisan beliau itu yang sebelum ini sering juga saya terfikirkan mengenainya.
Mungkin ramai yang menyedari akan hakikatnya tetapi saya rasa tidak semua yang berfikiran begitu sebelum ini termasuklah saya. Ada sesetengah orang mengungkapkannya sebagai kelahiran bermula selepas kematian. Mungkin ini ialah realitinya, kita sekadar singgah sekejap di atas muka bumi hanya untuk diuji supaya nanti untuk kehidupan yang kekal abadi kita akan ditempatkan mengikut tingkat amal yang kita lakukan. Samalah macam kita kat sekolah, pencapaian kita dalam ujian yang diberikan oleh guru akan menentukan kelas yang akan bakal kita duduki. Baik keputusannya, baik jugalah kelas yang akan kita duduki dan sebaliknya. Cumanya kehidupan di akhirat no turning back dan tak ada ujian kedua. Apa yang kita lakukan di dunia ini adalah apa yang akan kita sembahkan kelak apabila kita pulang menghadap Illahi nanti.
Mungkin ada antara kita yang pernah mengengar ungkapan ini, “panjangkanlah umur dengan beramal”. Kenapa dengan beramal kita boleh panjangkan usia kita? Sebenarnya umur kita telah ditetapkan oleh Allah sebelum kita lahir lagi. Dan umur ini tidak berubah, sebab itu ada ulama’ yang menjatuhkan hukum makruh apabila kita berdoa untuk dipanjangkan umur sebaliknya kita disaran untuk berdoa supaya diberkati usia. Usia yang berkat ini merujuk kepada sejauh mana pengabdian diri kita ini kepada Allah dalam kehidupan kita dan apa yang telah kita usahakan sepanjang hayat kita. Usia yang berkat lebih baik dari usia yang panjang. Apa guna hidup beribu tahun tapi sekalipun tidak pernah melakukan amal ibadat. dan menyembah Allah.
Maksud melakukan amal untuk penjangkan usia ialah kita disarankan untuk melakukan amal kebaikan yang akan dapat membantu kita setelah kita mati nanti. Kerana apabila terpisahnya roh dan jasad anak adam itu, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu anak soleh yang akan mendoakannya, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah yang ditinggalkan. Allah telah berfiman dalam ayat 10 hingga 11 surah Al-Munafiqun “ Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan".
Jika sebelum mati kita sudah sediakan semua ini, dan kita juga seorang yang taat kepada perintah Allah, insya-Allah tempat kita di negeri akhirat yang kekal abadi itu pastinya di sisi Allah. Disitulah kehidupan yang sebenar bermula tanpa ada akhirnya, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “Tinggallah kamu di dunia ini seperti kamu sedang melalui sesuatu tempat”. Jadi untuk persinggahan yang singkat ini kita mesti berlumba-lumba untuk mendapat tempat yang terbaik di akhirat kelak dengan berlumba-lumba melakukan kebaikan dan sentiasa mengingati maut yang pada bila-bila masa boleh menjengah untuk mencabut nyawa kita seperti Rasulullah bersabda yang bermaksud "perbanyakkanlah kamu mengingati sesuatu yang menghilangkan segala kelazatan iaitu kematian". Allah berfirman dalam surah Al-An’aam ayat 61 yang bermaksud “Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya)”.
No comments:
Post a Comment