Assalamualaikum,
Walaupun menggunakan nama Pongsu Seribu sebagai domain kepada blog saya, namun belum pernah lagi saya rasa saya mengepost apa-apa posting yang berkaitan dengan Pongsu Seribu. Dalam posting kali ini saya akan ceritakan serba sedikit tentang Pongsu Seribu, kampung halaman saya. Pongsu Seribu nama sebuah kampung yang terdapat dalam kawasan Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Nama Pongsu Seribu diperolehi kerana suatu ketika dahulu (menurut cerita orang tua-tua) di kampung ini terdapat banyak pongsu atau lebih dkenali sebagai busut di kawasan kampung Pongsu Seribu. Oleh kerana jumlah pongsu atau busut yang terlalu banyak, maka penduduk kampung mengatakan terdapat beribu-beribu pongsu disini. Sejak dari itu, Pongsu Seribu mendapat namanya. Kawasan Pongsu Seribu yang agak tinggi dari kawasan lain disekitarnya, (bukan kategori Guar*) serta jauh dari sungai menjadi habitat kegemaran anai-anai untuk membuat mahligai kerana tidak di tenggelami air. Tidak hairanlah sehingga hari ini masih terdapat banyak pongsu yang terdapat di Pongsu Seribu. Berhampiran rumah saya sendiri dulu terdapat tiga buah pongsu tetapi telah dimusnahkan. Tetapi masalah anai-anai terus membelenggu kebanyakkan rumah di Pongsu Seribu.
Tentang masyarakatnya pulak, semuanya peramah dan amalan gotong-royong ketika kenduri-kendara masih dikekalkan di Pongsu Seribu walaupun perubahan zaman sering menggugat tradisi ini. Qaryah Pongsu Seribu meliputi kawasan sepanjang 2km mengikut anggaran saya. Bermula dari Kg Tersusun Pongsu Seribu sehinggalah Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Dalam qaryah Pongsu Seribu terdapat empat buah kawasan perumahan iaitu Taman Orkid, Taman Orkid Indah, Taman Cahaya Seribu, dan Taman Rupawan. Kesemua komuniti ini dan penduduk kampung akan bersembahyang Jumaat di Masjid Jamek Pongsu Seribu.
Masjid Jamek Pongsu Seribu dipengerusikan oleh Tn. Hj. Razak. Iman yang memimpin jemaah pula ialah Tn. Hj. Hussein selaku imam 1 dan Tn. Hj. Abdullah selaku imam 2. Bagi khatib untuk solat Jumaat, Dr. Mohd Nazmi Desa akan bertugas sebagai khatib 1 dan Ust Rahimi sebagai khatib 2. Itulah serba sedikit yang saya tahu tentang pengurusan masjid dan qaryah Pongsu Seribu. Bagi Masjid Jamek Pongsu Seribu yang telah lama menjadi nadi penyatuan ummah kami, Masjid Jamek Pongsu Seribu yang berdiri tegak sekarang telah dibina pada tahun 1980-an dan pembukaannya telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tun Dr Mahathir. Masjid lama Pongsu Seribu yang terletak 20 meter dari masjid sekarang terpaksa ditinggalkan kerana tidak dapat menampung jemaah yang semakin ramai pada ketika itu selain tidak dapat diperbesarkan lagi kerana dikelilingi oleh tanah perkuburan dan berhampiran dengan jalam utama. Pada tahun 2000-2001, masjid ini sekali lagi mengalami perubahan apabila diperbesarkan lagi satu kali ganda untuk menampng jumlah jemaah yang kian bertambah. Bahagian sebelah kiri masjid telah diperbesarkan dan ditmabah satu tingkat lagi untuk dewan sembahyang wanita diatasnya. Pongsu Seribu mempunyai trademark pengenalanya sendiri, iaitu nasi daging Pongsu Seribu. Nasi daging Pongsu Seribu yang disediakan secara gotong royong sering menjadi bualan umum semua orang dan tetamu khas yang bertandang ke Pongsu Seribu pastinya akan dijamu dengan hidangan ini. Ia biasanya di hidangkan di atas talam dan makan secara berkumpulan 3 - 4 orang. Itulah antara tradisi di sini. Kenduri nasi daging apabila tiba di hujung Ramadhan juga sudah menjadi satu kemestian kepada semua warga Pongsu Seribu. Beras akan dikutip dari rumah ke rumah dan dikumpulkan di masjid. Seterusnya akan dimasak secara gotong royong dalam kawah. Lauk daging spesial dan air asam akan menjadi pelengkap kepada hidangan tersebut. Pada sebelah petangnya, semua penduduk kampung akan ke masjid untuk mengambil nasi tersebut. Jadi pada petang itu, boleh dikatakan semua penduduk kampung akan berbuka dengan nasi daging yang telah di edarkan itu.Dalam perihal makanan lagi, Pongsu Seribu turut terkenal dengan ayam percik, nasi daging & nasi ayam serta Mee Kilo Pongsu Seribu. Mee kilo Pongsu Seribu hanya terdapat semasa bulan puasa dan musim perayaan. Mee rebus ini dijual secara kilo bersama kuahnya, taugeh dan tauhu. Keenakkan mee kilo ini telah membuatkannya laris sekali dan anda perlu datang awal untuk membelinya supaya tidak pulang dengan tangan kosong. Pembinaan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang yang satu ketika dulu dirancang sebagai Kampus USM turut menjadi satu simbol pengenalan kepada Pongsu Seribu. Jom la ke Pongsu Seribu kampung halamanku..Wallahualam...
Kamus
pongsu=busut
guar=kawasan tinggi
2 comments:
Salam..
Ustaz Syed Mahiyuddin orang situ ka.?
Wasalam..ustaz syed orang luar, tapi datang menetap disini.dah lama dia tinggal sini.rumah ustaz dekat Taman Cahaya Seribu.
Post a Comment