Saturday, May 9, 2009

Peringatan Buat Anak

Orang kata aku lahir dari perut emak..
Bila dahaga, yang susukan aku.. emak
Bila lapar, yang suapkan aku..emak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. emak
Kata ibu, perkataan pertama yang aku sebut.. mak!
Bila bangun tidur, aku cari.. emak
Bila nangis, orang pertama yang datang ..emak
Bila nak bermanja… aku dekati emak
Bila nak bergesel… aku duduk sebelah emak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya emak
Bila nakal, yang memarahi aku… emak
Bila merajuk… yang memujukku cuma..emak
Bila melakukan kesalahan… yang paling cepat marah..emak
Bila takut… yang tenangkan aku.. emak
Bila nak peluk… yang aku suka peluk..emak

Aku selalu teringatkan ..emak
Bila sedih, aku mesti talipon… emak
Bila seronok… orang pertama aku nak beritahu… emak
Bila bengang.. aku suka luah pada ..Ibu
Bila takut, aku selalu panggil.. “emakkkk! “
Bila sakit, orang paling risau adalah ..emak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga emak
Bila buat hal, yang marah aku dulu..emak
Bila ada masalah, yang paling risau.. emak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. emak
Yang selalu masak makanan kegemaranku. . emak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku, emak
Yang selalu berleter kat aku..emak
Yang selalu puji aku.. emak
Yang selalu nasihat aku.. emak
Bila nak kahwin..
Orang pertama aku tunjuk dan rujuk… emak

Aku ada pasangan hidup sendiri
Bila seronok… aku cari pasanganku
Bila sedih… aku cari emak
Bila berjaya… aku ceritakan pada pasanganku
Bila gagal… aku ceritakan pada emak
Bila bahagia, aku peluk erat pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat emak
Bila nak bercuti… aku bawa pasanganku
Bila sibuk… aku hantar anak ke rumah emak
Bila sambut valentine… Aku hadiahi bunga pada pasanganku
Bila sambut hari ibu… aku cuma dapat ucapkan Selamat Hari Ibu
Selalu… aku ingat pasanganku
Selalu… emak ingat kat aku
Bila..bila… aku akan talipon pasanganku
Entah bila.. aku nak talipon emak
Selalu… aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila…. aku nak belikan hadiah untuk emak

Renungkan:

Dulu emak kata: “Kalau kamu sudah habis belajar dan bekerja… bolehkah kamu kirim wang untuk emak? Emak bukan nak banyak… lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah”.

Berderai air mata. Hari ini kalau emak mahu lima ratus sebulan pun aku mampu. Aku boleh kirimkan. Tapi emak sudah tiada.

ingatlah pengorbanan emak@ibu@ummi@mama@mummy atau apa sahaja panggilan yang mulia kita gunakan untuk mereka, kerana insan tersebut yang telah bersusah payah mengandungkan kita selama 9 bulan secara PERCUMA, bergadai nyawa melahirkan kita secara PERCUMA, dua tahun dia menyusukan kita secara PERCUMA, insan ini juga yang telah membesarkan kita dengan setulus kasih sayang dan pengorbanan secara PERCUMA, insan ini juga yang telah mendidik kita tanpa mengenal erti putus asa dan kecewa secara PERCUMA, insan ini juga dalam kalimatnya ada doa untuk kita, dalam nafasnya ada cita-cita untuk kita, dalam pejamnya ada kita dihadapannya, dalam suapannya ada kita di ingatannya, pada raut wajahnya seribu satu keperitan dan di bawah tapak kakinya itu yang kita mesti kejar…

(kata-kata ini pertama kali saya baca masa kat board depan perpustakaan institut lepas ada orang suggest, asalnya "ibu", tapi saya tukar jadi "emak" sebab kat umah panggil "emak")

Friday, May 8, 2009

Hak Anda [Bahagian Pertama]


1. APABILA DIBERHENTIKAN POLIS

1.1 Sekiranya polis tersebut tidak memakai pakaian seragam

Tanya beliau mengenai kad kuasa beliau

1.2 Kad Kuasa Polis

Warna Merah: Anggota polis tersebut telah digantung. Beliau tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk berbuat apa-apa. Anda tidak perlu mengendahkan beliau.

Warna Biru: Polis yang berpangkat Inspektor dan keatas.

Warna Kuning: Polis yang berpangkat dibawah Inspektor

Warna Putih: Polis Simpanan

Ambil perhatian nama dan nombor anggota polis pada Kad Kuasa Polis.

1.3 Pada Pakaian Seragam

Ambil perhatian nama dan nombor anggota polis pada pakaian seragamnya.


1.4 Kenderaan Polis

Ambil perhatian tentang nombor pendaftaran pada kereta peronda, motosikal atau kenderaan polis tersebut.

2. APABILA DISOAL OLEH POLIS

2.1 PengenaIan Anda

Anda cuma perlu berikan nama, kad pengenalan dan alamat sahaja.

2.2 Seandainya ditanya soalan-soaian lain

Anda boleh bertanya, "Adakah saya ditahan? "

2.3 Bilakah anda ditahan

Anda ditahan apabila anggota polis itu

• menjawab "ya" pada soalan di atas

• beliau tidak membenarkan anda meninggalkan tempat tersebut atau ingin membawa anda ke balai polis

• apabila anda digari.

Jika anda tidak ditahan anda boleh berlepas dari tempat tersebut atau enggan mematuhi arahan beliau untuk ke balai polis atau tempat lain jika diarahkan.

2.4 Bilakah anda tidak boleh ditahan

Polis tidak boleh menahan anda semata-mata kerana anda berkemungkinan menjadi seorang saksi dan polis ingin mengambil kenyataan saksi daripada anda (Kenyataan saksi/112).

3. SOAL JAWAB OLEH POLIS TANPA PENAHANAN

3.1 Kenyataan saksi/112

Apabila pihak Polis menjalankan siasatan mengenai sesuatu kes dan berpendapat bahawa anda tersebut, pihak Polis boleh menyoal anda dan menulis jawapan-jawapan anda (Kenyataan saksi/112).

3.2 Permintaan rasmi /tidak rasmi

Selalunya, pihak polis membuat permintaan tidak rasmi untuk anda memberikan Kenyataan saksi/112. Sekiranya tempat dan waktu adalah bersesuaian, beri kerjasama. Sekiranya tidak, beritahu Polis yang anda akan berbuat demikian pada tempat dan waktu yang bersesuaian. Sekiranya anda enggan bekerjasama sama-sekali, Polis akan mengeluarkan suatu perintah rasmi yang ditandatangani oleh pegawai penyiasat (Perintah Polis) untuk meminta anda bekerjasama.

3.3 Memberikan Kenyataan saksi/112

Anda mempunyai hak untuk meminta seorang peguam menemani anda. Ini adalah dinasihatkan. Di dalam memberikan Kenyataan saksi/112, anda boleh enggan menjawab apa-apa soalan yang boleh mendedahkan anda kepada apa-apa kesalahan jenayah.

• Bawa bersama anda buku nota atau kertas tulisan (nota peribadi).

• Tulis semua soalan yang ditanya di dalam nota peribadi.

• Pastikan anda memahami setiap soalan yang ditanya.

• Ambil masa dan fikir berhati-hati sebelum menulis jawapan di dalam nota peribadi.

• Baca jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.

• Simpan nota peribadi untuk rujukan di masa hadapan.

3.4 Menandatangani Kenyataan saksi/112 anda

Sebelum menandatangani kenyataan anda, baca soalan-soalan dan jawapan jawapan yang ditulis oleh Pegawai Polis secara berhati-hati.

• Bandingkan kenyataan yang anda disuruh tandatangani dengan nota peribadi anda.

• Anda mempunyai hak untuk membuat pembetulan/perubahan kepada
kenyatan anda sebelum menandatanganinya.

• Tuliskan tandatangan anda di bawah ayat penghabisan kenyataan anda. Sekiranya anda gagal mematuhinya. Anda tidak boleh ditangkap. Akan tetapi, itu adalah satu kesalahan dan pihak Polis boleh meminta Majistret untuk mengeluarkan suatu waran terhadap anda untuk memaksa anda bekerjasama.

....bersambung Bahagian Kedua

Lalat Adalah Hidupan Terbang Terbaik di Dunia

Hakikatnya, setiap serangga yang wujud di sekeliling kita mempunyai sifat-sifat istimewa. Sebagai contoh,lalat dapat terbang sebaik sahaja ia dilahirkan. Boleh dikatakan, apabila membincangkan tentang terbang, lalat adalah makhluk paling berbakat. Seekor lalat dapat mengepakkan sayapnya sekitar 500 hingga 1000 kali setiap saat. Berhenti di sini, dan fikirkan sejenak. Kadar yang disebutkan bukan sejam dan tidak juga seminit; tetapi hanya sesaat. Ia itu sama masa yang kita gunakan untuk mengelipkan mata kita. Lalat dapat mengepakkan sayapnya sekurang-kurangnya 500 kali ketika kita membuka dan menutup mata kita. Fikirkan contoh berikut: Apa akan kita lakukan sekiranya kita diminta membuka dan menutup tangan kita 10 kali dan bukannya 500 kali? Sudah tentu mustahil untuk kita melakukannya 500 kali dengan otot-otot yang kita milik ini.
Lalat, dengan otot-otot luar biasanya, dapat melakukan tugas yang tidak dapat kita atau orang dewasa lain melakukannya. Tambahan pula, lalat tidak menghadapi sebarang kesukaran ketika mengepakkan sayapnya; otot terbangnya tidak akan tercabut. Kerana Allah telah menjadikan mereka dengan sistem yang hebat. Jika kita dapat melihat lalat dengan lebih dekat, kita akan melihat ia tidak menghadapi sebarang kesukaran ketika terbang; kita mungkin tidak merasa terkejut atau mengendahkannya. Bagaimanapun, sebenarnya ia adalah gerakan yang penting dan sukar.
Kita mengenali helikopter dan kapal terbang. Tahukah anda bila manusia mula menggunakannya? Mesin yang dapat terbang hari ini hanya direka pada hujung abad lepas. Ini bererti beratus-ratus tahun dahulu, tidak terdapat kapal terbang atau helikopter seperti yang ada sekarang. Jurutera dan juruteknik telah mengkaji sekian lama; mereka bekerja selama beberapa tahun dan hanya berjaya menghasilkannya tidak beberapa lama dahulu. Tetapi berapa lama pun usaha yang dijalankan dan enjin canggih yang kuat, helikopter ini masih tidak memiliki kebolehan untuk terbang seperti lalat.
Tiada satu pun mesin terbang yang dapat melakukan semua perkara ini. Cuba bayangkan di dalam minda kita bagaimana keadaan kapal terbang dan seekor lalat berlepas untuk terbang, dan bandingkan yang manakah paling sempurna. Sekarang, kita mungkin pernah terfikir persoalan ini: Siapakah yang mengajar lalat-lalat ini semua gerakan seperti ini? Sekali lagi, kita akan menyaksikan ciptaan Allah Yang Maha Berkuasa. Allah telah mengurniakan lalat dengan kebolehan yang sempurna.

p/s: nak tangkap nyamuk 10 kali ganda lagi mudah berbanding nak tangkap lalat


Sumber: Harun Yahya

Thursday, May 7, 2009

Baru habis kertas pertama

Assalamualaikum, baru saja tadi selesai kertas peperiksaan pertama iaitu Hubungan Etnik (WAJ3106). Untuk kertas permulaan, bagi saya ia adalah permulaan yang agak baik, setakat menjawab tadi tak ada la sampai meleleh cecair otak nak pikir, hehe. Tapi sikit saja lagi nak meleleh keluar cecair otak ni. Dah habis subjek ni maknanya tinggal lagi 5 subjek yang perlu diduduki peperiksaan. Apa-apapun semoga Allah memudahkan segala urusan ini, segala kebergantungan hanya pada Allah. Begitula juga halnya dengan keadaan semasa di Perak sekarang, semoga Allah menunjukkan jalan keluar daripada krisis yang kian rumit ini. Hanya kepada-Nya tempat kita berserah dan kembali. Dalam surah Al-Mu'min ayat 60 Allah telah berfirman yang bermaksud "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina". Semoga ikhtiar dan doa orang-orang yang teraniaya akan diperkenankan oleh-Nya walau dengan apa cara sekalipun kerana yang terbaik itu hanya dari Allah. Wallahua'lam..

Tuesday, May 5, 2009

Bahasaku.....budayaku

Bahasa adalah alat pengucapan dalam sesuatu bangsa. Dalam bahasa itu juga terkandung nilai-nilai budaya, atau pandangan dunia bangsa itu sendiri. Saya terdetik untuk menulis berkaitan bahasa ini kerana merasakan kedudukan bahasa Melayu kian hari semakin tercabar. Walaupun saya tidak mempunyai ilmu yang sangat mendalam tentang bahasa dan strukturnya, apatah lagi tentang falsafah bahasa Melayu itu sendiri, saya akan memberikan apa yang dikira patut untuk di kongsikan bersama.

Sebentar tadi dalam akbar berita harian edisi online ada mengatakan bahawa domain bagi Biro Pengaduan Awam (BPA) Jabatan Perdana Menteri yang sebelum ini http://www.bpa.jpm.my, ditukar kepada http://www.pcb.gov.my bermula semalam. Dari domain ini jelas kita boleh nampak singkatannya BPA telah ditukar kepada PCB atau Public Complaints Bureau. Sampai domain web pun nak guna bahasa penjajah, apatah lagi la PPSMI. PCB macam Pantai Cahaya Bulan pula.

Dari hari ke sehari bahasa ibunda kita kian tenggelam bersama budaya dan adat resam kita. Bahasa dan budaya merupakan satu pakej yang tidak boleh dipisahkan. Kita boleh lihat bagaimana mana bangsa Israel laknatullah yang menghidupkan bahasanya semula iaitu Hebrew sebaik membina sebuah negara haram. Tujuan utama mereka ialah untuk memulihkan kembali jati diri bangsa Israel itu sendiri dan membina satu identiti. Mereka datangkan bersama bahasa itu bersama budaya dan agama mereka. Jelas disini kita dapat lihat betapa luasnya peranan yang dimainkan oleh bahasa dalam membentuk jati diri dan budaya sesuatu bangsa.

Selain itu,saya turut berpendapat bahawa masalah sosial yang membelenggu masyarakat kita pada hari ini ialah disebabkan oleh pengaruh budaya barat yang didatangkan bersama bahasa itu. Apabila kita menerima sesuatu bahasa asing itu, secara tidak langsung akan terpalit juga budaya bangsa tersebut. Kalau budaya yang baik dibawa masuk,ia tidak menjadi masalah, tetapi yang jadi masalahnya ialah yang buruk-buruk itu yang digilai sangat (pesanan untuk diri saya). Malah bukan budaya sahaja yang dibawa bersama, lebih teruk lagi ia juga turut datang bersama ideologi dan fahaman yang menyesatkan. Itulah kuasa bahasa.

Disini saya tidak mahu menjumudkan pemikiran sesiapa, setiap bahasa di dunia ini adalah bebas untuk dipelajari. Allah telah berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 22 yang bermaksud “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”.Tetapi sebelum kita menerima mana-mana bahasa dalam diri kita, kita perlu kukuhkan diri kita dahulu dengan bahasa ibunda kita bersama budayanya. Bahasa Melayu adalah warisan tidak ternilai peninggalan nenek moyang kita selain daripada bumi Malaysia ini.

Justeru itu, melalui bahasa kita boleh tanamkan identiti Melayu yang penuh dengan adab kesopanannya dalam diri kita. Kita perlu berbangga dengan diri kita yang merupakan penutur asli bahasa Melayu. Kalau kita yang bangsa Melayu sendiri tidak mahu bertutur dalam Bahasa Melayu, pada siapa lagi hendak kita harapkan?. Pemimpin kita? Kalau pemimpin pun yang bertelinga satu, berlidah dua takkan kita nak harapkan juga. Fikir-fikirkan..wallahua’lam

Monday, May 4, 2009

Muntah2..bagus tu

Assalamualaikum..entri kali ni agak berbeza dari yang lepas, apa yang nak ditaip ini ialah berkaitan dengan alahan yang dirasai oleh lebih daripada sebahagian ibu yang mengandung. Terdetik nak taip fasal cerita ni coz tadi masa nak balik maktab ada dengar (terdengar/curi-curi dengar/sebenarnya memang nak dengar pun) tiga empat orang wanita berbual fasal topik nie. Bagi saya topik ini menarik juga untuk dikongsikan bersama.

Alahan pagi atau morning sickness adalah antara nama yang sering digunakan untuk menggambarkan tentang gejala alahan ini. Biasanya alahan ini bermula sejak dari usia kandungan mencecah 2 minggu dan akan berhenti pada minggu ke 12. Tetapi terdapat juga kes dimana si ibu terus-menerus mengalami alahan sehingga bersalin. Ibu-ibu yang kena simptom ini biasanya akan muntah-muntah dan loya.


Hasil kajian yang dibuat oleh Pengarah Program Ibu Berisiko di Hospital bagi Kanak-kanak Sakit, Toronto, Dr. Gideon Koren mendapati pencapaian dan perkembangan bayi yang ibunya tidak mengalami alahan adalah lebih pelahan. Secara mudahnya, alahan menjadikan bayi lebih pintar. Selain itu, kajian daripada Journal of Pediatrics mendedahkan bahawa loya dan muntah ketika hamil merupakan petanda kandungan yang sihat serta mengurangkan risiko keguguran. Ini semua adalah bukti kekuasaan dan kebijaksanaan Allah S.W.T. dalam mengatur perjalanan alam ini. Wallahu'alam.

Bacaan Lanjut: Wikipedia, Comelnya

Sunday, May 3, 2009

Budu oh Budu..

Ni ada cerita sensasi tentang budu, bagi peminat setia budu mesti dengar perkataan budu saja mesti dah kecur air liur,hehe...Dulu masa saya dengar saja tentang budu ni dalam kepala automatik teringat bau busuk, sebabnya ustaz saya masa kat sekolah menengah dulu ada menceritakan tentang satu peristiwa yang melibatkan budu ni. Ada kawan dia yang bagi tumpah budu dalam kapal terbang masa dalam perjalanan nak ke Mesir untuk studi. Jadi apa lagi, bersemaraklah aroma budu ni satu kapal terbang, mujurlah masa tu yang ada dalam kapal terbang tu kabanyakkannya pelajar dan penumpang dari Malaysia. Selain itu, ada pula cerita tentang budu ni meletup dalam bas. Ish2 banyak betul cerita yang negatif tentang budu ni.


Dalam Kosmo hari ni 3 Mei 2009 ada kisah sensasi tentang budu. Maklumlah saya pun baru pulang dari Kelantan ni, romate pula yang suggest suruh baca artikal ni (rumate orang Kelantan), jadi bersemangat la saya nak post fasal budu ni. Tajuk artikel ni Kehebatan Budu Kelantan dalam muka surat 12 & 13. Apa yang yang nak ditonjolkan dalam artikel ini ialah tentang khasiat budu dalam penjagaan kecantikan dan awet muda. Kajian yang telah dilaksanakan oleh Hamidah Sidek, Penyelidik Kanan Alam Sekitar dan Bioproses, Pusat Teknologi Sirim bersama 10 penyelidik lain mendapati bahawa budu mempunyai banyak khasiat. Menurut beliau proses penapaian budu yang menguraikan bahan organik kepada peptida dan asid amino menyumbang kepada rasa dan oroma lazat serta mempunyai nilai kosmetik. Ia berkesan sebagai agen pencerah kulit dan anti-penuaan.

Tambahnya lagi, semua ini berlaku kerana ekstrak marin daripada budu berupaya melawan radikal bebas, merangsang pertambahan sel kulit dan menggalakkan penghasilan kolagen. Ia juga mampu melindungi kulit daripada sinaran matahari.

Selain itu kajian daripada pakar pemakanan Jepun, Amerika Syarikat, New Zealand, Jerman dan Australia mendapati budu memiliki gluthaione iaitu bahan antioksodan yang mampu memerangi pelbagai penyakit termasuk kanser. Kajian lain dari Universiti Corolina Utara, AS mengatakan unsur ganestin dan phytoestrogen dalam budu boleh melambatkan penuaan dan mencegah barah payu dara. Budu juga dikatakan boleh menurunkan kadar kolestrol dalam darah dan berpotensi mencegah cirit-birit, penyakit jantung, kembung perut dan hipertensi selain daripada menjadi faktor kepada kepintaran seseorang.



Sekarang jelas lagi maklum kepada kita tentang khasiat budu ni. Masa pergi Kelantan 2 hari lepas sempat juga membawa pulang 1/2 dozen budu Cap Ketereh (buah gajus). Lepas ni ingat nak maintain la makan budu ni,hehe..ok Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja (walopun dan lewat 3 hari). Wallahu'alam.